Sabtu, 8 Jun 2013

ERR~Hantu kucing..

Ramai orang takut akan hantu. Namun begitu tidak ada seorang pun boleh membuktikan dia pernah berjumpa hantu. Gambar hantu tidak pernah kita jumpa. Tidak ada orang yang pernah merakamkan gambar hantu. Jika ada orang berjaya merakam gambar hantu, tentulah dia akan menjadi jutawan kerana gambar itu akan menjadi rebutan. Hantu sebenarnya tidak pernah ada.

      Namun, anehnya sampai sekarang masih ada orang takut akan hantu. Mereka takut kalau berjalan seorang diri pada malam hari. Mereka juga takut melalui kubur pada waktu malam. Kononnya, hantu banyak mendiami kubur.

      Rumah usang yang tidak didiami juga ditakuti. Selain itu, orang juga percaya di dalam hutan banyak hantu.

      Kepercayaan wujudnya hantu masih lagi berakar umbi dalam fikiran manusia semua bangsa.

      Begitulah keadaannya dengan penduduk Kampung Lubuk Hantu. Kampung ini didiami oleh lima puluh keluarga bercampur aduk Melayu, Cina, dan India.

      Kampung yang terletak di pinggir sungai itu dikelilingi hutan dari belakang dan kawasan sawah padi yang luas di depan. Kampung ini dihubungi oleh jalan kecil ke jalan raya. Jalan itu masih tidak diturap tar. Jalannya bertanah, bercampur aduk dengan batu dan pasir.
  Kebanyakan penduduknya bekerja sebagai petani. Mereka menanam padi dan sayur-sayuran. Ada juga yang membela lembu dan ayam itik. Selain itu, ada juga yang bertugas sebagai guru dan pegawai kerajaan.

      Di samping menanam padi, sawah kampung itu turut menjadi punca rezeki yang lain. Dalam sawah itu banyak ikan. Airnya masih bersih. Tidak dicemari oleh bahan kimia dan racun. Oleh sebab itu, ikan masih boleh membiak seperti dahulu.

      Orang kampung keluar ke sawah menangkap ikan dengan bermacam-macam cara. Kalau padi belum ditanam, mereka menyuluh ikan. Mereka menggunakan pelita ayan atau obor rotan. Obor rotan lebih terang kerana apinya lebih besar.

      Obor ini diperbuat daripada sebatang rotan kertas sepanjang kira-kira satu meter. Pangkal rotan itu dibalut dengan kain buruk dan disumbat ke mulut botol yang berisi minyak tanah.

      Di hujung rotan itu pula dibalut dengan aluminium atau besi nipis, panjangnya kira-kira sejengkal. Apabila botol ditonggeng ke bawah, minyak tanah mengalir melalui lubang halus rotan itu. Minyak itu akan mengalir dan keluar di hujung rotan itu. Apabila dinyalakan, apinya terang-benderang.

      Menyuluh ikan dengan menggunakan pelita rotan adalah lebih mudah. Hal ini lebih mudah kerana hujungnya boleh dirapatkan ke permukaan air melalui celah-celah umbi padi.

  Oleh yang demikian, pandangan lebih jelas dan ikan-ikan yang tidur mudah kelihatan.

      Apabila ikan ditemui, ikan itu akan ditetak dengan menggunakan parang atau golok. Ada juga menggunakan serkap buluh.

      Ikan yang ditangkap dimasukkan ke dalam raga batang. Raga itu diperbuat dengan buluh yang diraut. Saiznya agak besar. Raga itu dibubuh tali supaya senang disangkut ke bahu.

      Apabila malam, kelihatan cahaya berkelip-kelip dari sawah itu. Cahaya itu datang dari obor penyuluh ikan.

      Apabila padi membesar hampir menguning, biasanya mereka menggunakan taut, iaitu sejenis alat menangkap ikan cara lama. Bentuknya sama dengan kail, cuma batangnya lebih pendek dan diperbuat daripada buluh. Taut mempunyai mata berduri dan benang tangsi. Umpannya ialah cacing gelang. Apabila matanya disalut dengan cacing, taut ditinggalkan di situ beberapa lama.

      Biasanya, waktu senja barulah taut ini ditengok. Cara itu berbeza dengan mengail kerana mesti ditunggu sehingga ikan makan umpan.

      Menahan taut memerlukan banyak batang. Ada yang sampai lima puluh batang atau lebih. Mengail biasanya satu atau tiga batang sahaja. Batang taut diperbuat daripada buluh. Batang kail pula diperbuat daripada batang salak.
  Selain taut dan mata kail, penduduk kampung itu turut menggunakan bubu atau tuar. Alat ini ditahan di kawasan air mengalir, tempat ikan bermain. Lukah atau bubu biasanya ditahan di tempat pergenting, iaitu air akan menuju ke situ.

      Ikan yang melalui kawasan itu akan terperangkap ke dalam lukah. Itulah sebabnya terciptanya simpulan bahasa, "seperti menahan lukah di pergenting atau " menangguk di air keruh".

      Selain itu, orang kampung itu juga menggunakan tangguk, takung, dan menahan jaring.

      Bagaimanapun, ada perkara yang tidak disenangi oleh penduduk kampung itu. Di tengah-tengah sawah itu terdapat sebuah lubuk yang banyak ikan. Di situ terdapat sebatang pokok gucil yang besar dan sebatang pokok beringin. Kawasan itu memang banyak ikan. Tetapi orang kampung takut hendak menangkap ikan di kawasan itu.

      Tempat itu dipercayai berhantu. Kata orang, ada hantu kucing. Pernah ada orang yang terlajak menyuluh ke kawasan itu dikejar oleh kucing besar.

      Ketika orang itu sedang asyik menyuluh, satu lembaga hitam datang dari belakang. Lembaga itu berbunyi seperti kucing.

      Orang itu pun lari lintang-pukang. Dia tiba di rumah lalu pengsan. Raga ikannya jatuh entah di mana. Hampir sebulan orang itu demam dan meracau-racau seperti orang gila.
  Sejak itu, orang kampung langsung tidak berani mendekati kawasan itu. Tempat itu memang terpencil dan menggerunkan, terutama pada waktu malam ketika bulan mengambang.

      Dari jauh, pokok gucil dan pokok beringin itu kelihatan hitam dan menyerupai lembaga binatang. Kadangkala kelihatan seperti kucing. Kadangkala kelihatan seperti gajah.

      Sekali-sekala kelihatan percikan api dan cahaya menyinar dari pokok itu. Ada juga orang kampung mendakwa nampak lembaga putih melayang dari pokok itu, lalu menghilang di langit.

      Pendek kata, berbagai-bagai cerita timbul dari semasa ke semasa sehingga menyebabkan kawasan itu semakin digeruni orang.

      Lubuk dan sawah di kawasan itu tidak dikunjungi orang, melainkan pada waktu siang. Tidak ada orang yang  berani menangkap ikan di sekitar kawasan itu. Oleh sebab tidak ada gangguan manusia, kehidupan ikan di situ aman damai. Ikan keli begitu banyak membiak di dalam lubuk dan bebas bergerak di dalam sawah padi. Begitu juga dengan ikan yang lain.

      Suatu masa, ikan di sawah kampung itu semakin kurang. Penggunaan baja dan racun serangga ketika menyuburkan padi dan sayur-sayuran menyebabkan kehidupan ikan terancam. Banyak telur ikan mati sebelum menetas.
   Orang kampung tidak mendapat tangkapan yang lumayan lagi. Taut kurang mengena. Tuar dan bubu tidak banyak ikan yang terperangkap. Kalau menyuluh pun tidak banyak ikan yang ditemui. Untuk mendapatkan sepuluh ekor ikan keli pun terpaksa menyuluh sampai dinihari.

      Pada suatu malam, dua orang penduduk kampung itu berpakat akan pergi menyuluh ikan di lubuk puaka. Mereka nekad dan memberanikan diri untuk cuba pergi menyuluh di kawasan lubuk puaka itu.

      "Kita cuba! Saya rasa tidak ada apa-apa. Mana ada hantu ?" kata Daud kepada Cikgu Zaki pada suatu petang di rumah Cikgu Zaki.

      "Betul! Saya pun tidak pernah jumpa hantu. Cerita orang adalah," jawab Cikgu Zaki sambil minum kopi.

      "Belum ada sejarah dalam dunia ini orang mati kerana hantu. Mati kerana kemalangan jalan raya ramai. Boleh dikatakan setiap hari," tingkah Daud.

      Mereka ketawa.

      Malam yang dijanjikan telah tiba. Malam itu bulan agak malap. Udara pun agak sejuk. Mereka bersiap sedia. Sebaik sahaja selesai sembahyang Isyak, Cikgu Zaki sudah siap dengan obor rotan dan raga batang. Malam itu, malam minggu. Esok cuti. Dia tidak perlu pergi sekolah. Boleh menyuluh sampai pagi.
  Cikgu Zaki memakai baju askar yang dibelinya dari kedai guni. Berseluar panjang hitam. Kepalanya dibelit dengan tuala buruk.

      Sebentar kemudian, Daud datang. Dia berkain sarung. Berbaju leher bulat biru. Kepalanya bersemuntal kain lepas buruk. Daud hanya berkaki ayam. Selepas menghirup kopi yang disediakan oleh Cikgu Zaki, mereka keluar menuju ke sawah.

      Ketika mereka sampai di sawah, sudah ramai orang menyuluh ikan. Petak sawah digenangi air sehingga paras betis. Anak padi yang dicedung (tanam) baru pulih. Air sawah agak jernih. Kalau ada ikan, mudah kelihatan.

      Cikgu Zaki dan Daud cuba menyuluh dalam beberapa bidang sawah, tetapi tidak ada ikan. Tempat itu baharu sahaja disuluh orang. Kesan tapak kaki masih baharu. Air pun masih keruh kesan dilalui orang.

      "Sudahlah! Tidak ada ikan. Kita terus ke lubuk. Buang masa sahaja," kata Daud.

      "O.k.! Kita terus ke sana," jawab Cikgu Zaki.

      Mereka terus beredar. Langkah mereka dipercepatkan. Mereka berjalan di atas batas sawah. Mereka mengangkat obor rotan tinggi-tinggi supaya jalan kelihatan lebih terang.
  Angin bertiup agak kencang. Udaranya semakin sejuk. Di atas langit kelihatan kilat memancar. Kelihatan seolah-olah langit retak. Namun, ketika kilat memancar ternampak tompokan awan putih, menandakan cuaca baik.

      Sekali-sekala kedengaran suara guruh sayup-sayup di angkasa. Bunyi suara unggas padang memecah suasana sunyi.

      Mereka terus melangkah. Mereka semakin menghampiri lubuk puaka. Dari jauh, kelihatan dua lembaga hitam berdiri tegak. Tapi mereka tidak rasa apa-apa kerana lembaga itu hanya pokok gucil dan pokok beringin. Dua batang pokok itu kelihatan berbalam-balam seperti dua gergasi sedang berdiri.

      Bagaimanapun, hati mereka terasa juga gementar. Tetapi mereka mesti memberanikan diri dan banyak bersabar.

      Kepercayaan kepada hantu tidak boleh membunuh manusia mesti dipegang teguh.

      "Kita sudah sampai. Mari kita cuba menyuluh dalam relung (sawah) ini dulu," suara Cikgu Zaki memecah kesunyian.

      Mereka turun ke dalam sawah. Air sawah itu agak dalam sehingga ke paras lutut. Mereka membawa kelewang (parang panjang) untuk menetak ikan. Kawasan air dalam biasanya didiami ikan haruan besar. Ikan keli pula suka bermain di tempat air yang lebih cetek.
 Daud dan Cikgu Zaki berpecah agak jauh.

      Tiba-tiba terdengar Daud menetak sesuatu di dalam air. Ceburan air mematikan pelitanya.

      "Ada apa Daud?" tanya Cikgu Zaki apabila mendengar Daud bersuara cemas.

      "Ikan haruan. Besarnya! Pelita pun padam," jawab Daud.

      Daud berjaya menangkap ikan haruan itu. Badan ikan hampir putus ditetak oleh Daud. Daud simpan ikan itu di dalam raga batang.

      Cikgu Zaki juga telah mendapat beberapa ekor ikan puyu-puyu dan ikan mengkepal. Ikan puyu itu besar-besar belaka. Ikan itu disimpan di dalam raga batang.

      Mereka benar-benar asyik menyuluh kerana ikan terlalu banyak ditemui. Mereka tidak sedar, langkah mereka menghampiri pokok gucil. Masing-masing membawa haluan sendiri. Daud jauh ke arah lubuk, manakala Cikgu Zaki pula mendekati pokok gucil.


 












Ketika sampai dekat pokok gucil, Cikgu Zaki sudah mendapat lima ekor ikan keli lembut. Raganya hampir sarat. Ketika berada berhampiran pokok gucil, Cikgu Zaki terdengar sesuatu.

      Cikgu Zaki cuba menumpukan pendengarannya dengan teliti, sambil memerhati sekeliling. Dia juga mencari-cari Daud. Tetapi Daud tidak kelihatan. Cahaya obor rotan Daud juga tidak nampak.

      Cikgu Zaki menegakkan kepala sambil memandang ke depan. Lehernya terasa agak berat untuk dipusing ke kiri dan ke kanan.

      Tiba-tiba dia terdengar suara kucing mengiau. Suara itu tidak berapa lantang, kedengaran suara seperti kucing mendapat sesuatu.

      Cikgu Zaki cuba memasang telinga sambil matanya mengerling ke kiri dan ke kanan.

      Bulu tengkuk Cikgu Zaki berdiri tegak. Dia mulai rasa takut.

      "Suara apa ini? Macam suara kucing," bisiknya.

      Perasaan Cikgu Zaki semakin cemas. Dia mulai ragu-ragu, adakah suara itu benar atau tidak?







Tiba-tiba angin bertiup kencang. Satu lembaga hitam berdiri di belakang Cikgu Zaki. Serentak dengan itu terdengar suara kucing mengiau dengan kuatnya.

      "Hantu! Daud! Daud! Hantu!" pekik Cikgu Zaki. Dia terus cabut lari.

      Lembaga hitam itu mengejar Cikgu Zaki. Bunyi nafas lembaga hitam itu dekat dengan telinga Cikgu Zaki.

     Cikgu Zaki terus berlari dengan lajunya. Dia merempuh masuk dalam sawah dan memijak apa sahaja yang ada. Suaranya terus memekik. Hantu! Hantu!

      Cikgu Zaki tidak tahu sejauh mana dia berlari dan ke mana ditujunya. Ketika dia membuka mata dan dirinya pulih, Cikgu Zaki dapati dirinya terbaring di ruang tamu rumahnya.

      Dia dikelilingi ramai orang. Isterinya yang berada di sisi kepala mengusap-ngusap rambutnya dengan air. Cikgu Zaki juga terhidu bau kemenyan dibakar. Dia juga ternampak Pawang Jusoh tersandar di dinding. Pawang Jusoh tersenyum.

      Cikgu Zaki juga terlihat Daud berada di kakinya. Daud memicit-micit betis Cikgu Zaki.

      "Apa jadi dengan saya, Daud?" tiba-tiba Cikgu Zaki bersuara lemah.




  Daud tersenyum lucu. Matanya merenung Cikgu Zaki sambil melerekkan senyumnya agak panjang.

      "Hantu gucil mengamuk," bisik Daud. Orang ramai yang datang melawat Cikgu Zaki tersenyum lebar.

      "Kita pergi lagi menyuluh di lubuk puaka!" bisik Daud perlahan-lahan kepada Cikgu Zaki. Cikgu Zaki tersenyum panjang sambil mengangguk-angguk kepalanya.

      Peristiwa Cikgu Zaki dikejar hantu kucing menggemparkan penduduk kampung. Pagi-pagi lagi cerita itu menjadi tajuk utama di kedai kopi.

      "Cikgu Zaki dan Daud dikejar hantu kucing ketika menyuluh ikan di lubuk puaka. Cikgu Zaki pengsan apabila sampai di rumah. Mujur ada Pawang Jusoh. Dia berjaya menghalau hantu itu dan memulihkan Cikgu Zaki," begitulah berita lisan itu.

      Tetapi cerita sebenarnya lain. Hanya Cikgu Zaki dan Daud sahaja yang tahu. Cerita itu amat menguntungkan Cikgu Zaki dan Daud. Setiap malam mereka terus menyuluh di lubuk puaka. Mereka mendapat banyak ikan, sedangkan orang kampung terus percaya lubuk itu berhantu.

  Sebenarnya, seminggu sebelum itu, kucing di rumah Cikgu Zaki melahirkan empat ekor anak. Pada malam Cikgu Zaki hendak pergi menyuluh ikan, salah seekor anak kucing itu masuk ke dalam raga batang tersebut dan tidak dapat keluar. Hal itu tidak disedari oleh Cikgu Zaki.

      Oleh yang demikian, anak kucing yang sedang tidur di dalam raga batang itu turut dibawanya bersama ke sawah.

      Apabila Cikgu Zaki memasukkan ikan keli ke dalam raga batang itu, terjerit-jeritlah anak kucing itu kerana terkena sengat ikan keli tersebut. Cikgu Zaki pula menyangka suara itu ialah suara hantu kucing. Dia berlari lintang-pukang kerana sangat ketakutan, sambil menjerit, "Tolong! Hantu Kucing! Hantu Kucing!"

      Oleh yang demikian, hanya dia dan Daud sahaja yang mengetahui peristiwa lucu itu. Peristiwa itu menjadi rahsia bagi mereka berdua. Manakala orang kampung pula, tiada seorang pun yang berani pergi ke tempat yang dikatakan berpuaka itu. Mereka menyangka hantu kucing benar-benar ada di tempat itu.


0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama