Sabtu, 8 Jun 2013

ERRR~Hantu pokok bunut

Semua penduduk kampung itu tahu, pokok bunut itu berhantu.

      Pokok yang berumur lebih daripada seratus tahun itu amat ditakuti. Perdunya besar. Dahannya merimbun menutup jalan. Banir dan akarnya itu menjalar ke merata tempat.

      Dari dahan itu berjuntai pula pokok beluru. Buah beluru bergantungan seperti parang. Dari jauh pokok bunut itu kelihatan seperti lembaga hitam yang besar. Bentuknya seperti gergasi duduk.

      "Tidak berani saya melalui pokok itu, kalau malam. Ada hantu. Hantu terbang warna putih. Kadang-kadang ada api," kata seorang penduduk asal kampung itu.

      "Kadang-kadang terdengar suara menangis, ketawa, dan minta tolong apabila larut malam," tambahnya. "Sudah ramai orang kena usik. Lari dan sakit berbulan-bulan," katanya lagi.

      Begitulah pandangan penduduk Kampung Pasir Panjang terhadap pokok bunut itu.

      Kampung itu dihubungi oleh sebatang jalan ke Pekan Ketereh. Jauhnya empat kilometer. Jalan itulah digunakan oleh penduduk apabila hendak keluar membeli-belah di pekan. Tetapi tidak ada orang yang berani keluar seorang diri. Mereka keluar beramai-ramai dan pulang sebelum tengah malam, kecuali yang menggunakan kenderaan.

      Disebabkan pokok itu, penduduk Kampung Pasir Panjang tidak keluar malam. Mereka lebih suka bersama keluarga menonton TV.


 Pada suatu hari, seorang budak disuruh oleh ibunya membeli garam di Pekan Ketereh. Budak itu bernama Lamin.

      Lamin seorang budak yang baik. Dia amat taat akan orang tua. Lamin tidak pernah menentang kata-kata ibu dan sentiasa menurut perintah. Lamin juga dikenali di dalam kalangan kawan-kawannya kerana pandai. Dia juga disukai oleh guru-gurunya kerana bijak dalam pelajaran.

      Walau bagaimanapun, Lamin memiliki sifat buruk, iaitu suka bersembang. Walaupun dia baru darjah enam, suka bergaul dengan orang-orang dewasa. Lamin petah bercakap. Oleh sebab itu disenangi orang. Kalau Lamin bersembang, dia lupa segala-galanya. Dia lupa makan dan minum kalau boleh berbual. Dia juga suka mendengar cerita.

      Hari sudah senja. Lamin terpaksa juga keluar ke Pekan Ketereh. Kampungnya dengan pekan hanya empat kilometer. Hanya lima belas minit jika mengayuh basikal.

      "Beli garam sekilo. Emak hendak masak gulai ikan keli," kata emaknya. Lamin amat suka makan ikan keli. Keli itu dia yang cari. Lamin menahan lukah di sawah.

      Lamin terus pergi dengan menunggang basikal tua ayahnya.

      "Balik cepat! Nanti leka, tidak masak ikan ini," gesa emaknya.

      "Baiklah, mak!" jawab Lamin.





Lamin terus menunggang basikal dengan laju. Waktu itu Lamin berselisih dengan orang ramai yang balik ke rumah. Apabila sampai di pekan, Lamin terus masuk runcit. Dia mengambil garam berbuku yang diisi dalam beg plastik.

      "Berapa harga garam ini?" tanya Lamin. "Lima puluh sen," jawab tuan kedai. Lamin membayar harga garam.

      Dia letak garam itu di atas gerai basikal. Lamin menyepit garam itu dengan penyepit gerai yang sedia ada. Dia bergegas hendak pulang.

      "Eh, ada goreng pisang! Baik aku beli," bisik hati Lamin. Lamin menongkat basikal di depan gerai goreng pisang.

      "Hendak goreng pisang, Lamin?" tanya Mak Siah, penjual goreng pisang itu.

      "Percuma atau kena bayar?" usik Lamin.

      "Kalau engkau mahu, percuma pun boleh, bayar pun boleh," jawab Mak Siah yang sudahpun mengenali Lamin.

      "Emak engkau tidak datang?" Mak Siah kemudian bertanya.

      "Tidak! Dia suruh saya beli garam," jawab Lamin.

      "Buat apa garam?" tanya Mak Siah.

      "Gulai keli," jawab Lamin.



"Oh, ikan keli! Sedap itu. Banyakkah? Juallah sedikit," ujar Mak Siah lagi.

      "Tidak banyak. Lima ekor sahaja. Kena lukah yang saya tahan," jelas Lamin sambil bertenggek di atas gerai.

      "Tunggulah dahulu. Sebentar lagi masaklah," kata Mak Siah lagi.

      Mereka terus berbual. Hari senja sudah beransur tua.

      "Goreng pisang belum masak?" tiba-tiba Lamin bertanya.

      "Sudah masak tadi lagi. Aku ingat engkau belum hendak balik," jawab Mak Siah.

      Lamin membayar harga goreng pisang lalu pergi.

      "Berani engkau pulang seorang diri?" tanya Mak Siah.

      "Be..be..berani," jawab Lamin teragak-agak.

      Lamin mengayuh basikal dengan laju. Hatinya rasa berdebar-debar dan cemas. Dia mesti pulang melalui pokok bunut. "Harap-harap ada orang yang hendak balik," bisik Lamin. Lamin memperlahankan basikalnya. Dia menoleh ke belakang. Dia berharap ada orang. Tetapi seorang pun tidak ada.

      Hari semakin gelap. Langit juga hitam seperti hendak hujan. Angin mulai bertiup kencang. "Hendak hujan?" bisik Lamin dalam keadaan cemas dan serba salah sambil mengayuh basikal. "Pokok bunut! Pokok bunut!" Lamin menyebut dalam hatinya. Dia semakin dekat dengan pokok bunut. Dia bertekad akan melalui pokok bunut itu.

   Lamin terdengar bunyi dentingan. Dentingan itu semakin acap. Mula-mula satu dentingan. Kemudian dua dentingan. Lepas itu dentingan itu berturut-turut. Ting! Ting! Ting! Ting!

      Apalagi, Lamin terus memecut basikalnya. Ketika betul-betul sampai di bawah pokok bunut, satu lembaga hitam melayang menuju Lamin. "Hantu! Hantu! Tolong!" pekik Lamin sambil mengayuh basikalnya sehabis laju.

      Bunyi ting ting sudah hilang daripada pendengaran Lamin. Lamin tidak tahu apa sudah terjadi. Sebaik sahaja Lamin tiba di depan tangga rumahnya, dia pengsan. Apabila Lamin membuka mata, dia sudah terbaring di atas tilam. Sekelilingnya penuh dengan orang ramai. Emaknya mengusap-usap rambut Lamin dengan air.

      "Lamin! Engkau sudah sedar? tiba-tiba Lamin terdengar suara emaknya.

      "Apa yang terjadi dengan saya, emak?" tanya Lamin dengan suara yang lemah.

      "Engkau diusik hantu bunut. Tetapi tidak apa. Bomoh sudah menghalaunya," jawab emaknya.

      Lamin terlalu penat lalu tertidur semula.


  Berita Lamin diusik hantu bunut menggemparkan penduduk Kampung Pasir Panjang. Ramai orang datang ke rumah Lamin bertanya khabar. Dua tiga hari Lamin tidak boleh keluar rumah. Dia terpaksa melayan pelawat dan bercerita mengenai peristiwa itu. Cerita Lamin meleret-leret dari mulut ke mulut. Orang kampung semakin takut hendak keluar malam.

      Tetapi cerita yang sebenarnya hanya Lamin seorang yang tahu. Dia sudah tahu apa sebenarnya yang telah berlaku pada dirinya pada malam itu.

      Bunyi ting ting dari belakang basikalnya itu ialah kerana garam tumpah menimpa lidi basikalnya. Garam itu berbuku besar. Bukan garam mesin. Apabila basikal itu laju, buku garam itu semakin banyak tumpah menimpa lidi basikal. Lembaga hitam yang melayang menuju Lamin itu pula sebenarnya ialah sebidang upih pinang yang gugur. Upih itu sudah tua lalu gugur dan melayang ditiup angin.

      Lamin tersenyum sendirian apabila teringat akan kejadian lucu itu.




0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama