Jumaat, 7 Jun 2013

EMMM~bangau tidak pandai bersahabat

Di pinggir kawasan sawah terdapat sebuah belukar. Di dalam belukar itu tinggal seekor burung bangau.

      Tiap-tiap hari, bangau pergi ke sawah untuk mencari makanan. Pagi-pagi lagi bangau turun ke sawah untuk mencari rezekinya. Setelah lewat petang, barulah bangau pulang ke sarangnya semula.

      Musim orang membajak sawah merupakan musim yang paling disukai oleh bangau.  Hal ini demikian kerana sawah penuh dengan air. Oleh itu, bangau dapat mencari ikan di sawah.

       Apabila air di sawah sudah kering, bangau pergi mencari makanan di tempat lain pula. Mujurlah tidak jauh dari tempat itu terdapat paya. Bangau dapat mencari ikan di paya itu pula.

      Demikianlah kehidupan bangau sehari-hari. Hidupnya senang kerana rezekinya melimpah-ruah.

      Pada suatu hari, bangau terfikir dalam hatinya. "Alangkah, sunyinya hidupku kerana tiada kawan! Sudah lama aku bersendirian di sini," ujarnya dalam hati. Bangau berhasrat ingin mencari kawan.

Keesokan harinya, bangau pergi merayau-rayau ke tempat yang agak jauh. Bangau ingin cuba mencari kawan. Namun, hatinya hampa kerana tidak menemui seekor burung bangau pun di tempat itu.

      "Oh, malang sungguh nasibku!" bangau mengeluh panjang. "Tiada burung bangau lain hidup di kawasan ini," ujarnya lagi dengan perasaan sedih.

      Terpaksalah bangau pulang ke sarangnya dengan perasaan hampa.

      Pada suatu hari, bangau ternampak seekor anjing sedang merayau-rayau di atas batas.

      "Wahai, Sang Anjing! Kamu hendak pergi ke mana?" bangau cuba menegur.

      "Oh, awak rupa-rupanya, Sang Bangau! Saya tidak hendak ke mana-mana," jawab anjing.

      "Jika awak tidak hendak ke mana-mana, mengapa awak datang ke mari?" bangau berasa hairan.

      "Sebenarnya, Saya ingin bersiar-siar di sini," jawab anjing lagi.

 "Oh, begitu!" ujar bangau setelah mengetahui tujuan sebenar anjing itu.

      Keesokan harinya, anjing datang lagi ke tempat tersebut. Terfikirlah bangau dalam hatinya, "Lebih baik aku berkawan dengan anjing itu. Mungkin anjing sudi berkawan denganku. Jikalau anjing mahu berkawan denganku, tentulah hidupku tidak akan kesunyian lagi."

      Bangau lalu pergi menemui anjing itu. Bangau memberitahu anjing itu bahawa ia tidak pernah mempunyai kawan.

      "Mahukah awak berkawan denganku?" tanya bangau.

       "Oh, kasihan hidup awak! Jikalau awak suka, saya tidak keberatan untuk berkawan dengan awak," jawab anjing.

      Sukacitalah bangau itu apabila mendengar jawapan tersebut.

      Semenjak itu, mereka berkawan baik. Setiap hari, mereka berbual-bual dan bermain bersama-sama. Pendek kata, giranglah hati bangau kerana dapat berkawan dengan anjing tersebut.


 Suatu hari, anjing itu mengajak bangau pergi ke rumahnya. "Kita sudah lama berkawan. Tetapi saya belum pernah mengajak awak datang ke rumah saya," kata anjing itu.

      "Baiklah, kalau begitu! Esok saya akan pergi ke rumah awak," bangau bersetuju.

      Keesokan harinya, pagi-pagi lagi anjing datang mengajak bangau. Apabila tiba  rumahnya, anjing segera menghidangkan nasi di dalam pinggan.

      "Jemputlah makan!" anjing mempelawa bangau makan nasi tersebut.

      "Terima kasih!" jawab bangau.

       Namun, bangau tidak dapat makan nasi tersebut kerana paruhnya panjang. Beberapa kali bangau cuba mematuk nasi itu dengan menggunakan paruh panjangnya, namun gagal.

     "Wah, Sang Anjing ini sengaja menghidangkan nasi di dalam pinggan supaya aku tidak boleh makan!" bangau menyangka demikian.

       Akhirnya, anjing itu menyedari bangau tidak pandai mengambil makanan di dalam bekas berbentuk leper.

 "Maafkanlah saya, wahai Sang Bangau! Saya tidak mempunyai bekas lain lagi, kecuali pinggan ini sahaja. Saya tidak tahu awak tidak pandai mengambil makanan di dalam bekas seperti ini," ujar anjing.

      "Tidak mengapalah!" jawab bangau. Namun, sebenarnya bangau berasa sangat marah.

      Bangau pulang dengan perasaan marah dan perutnya lapar.

      Keesokan harinya, bangau mengajak anjing datang ke rumahnya pula. "Wahai Sang Anjing! Kelmarin saya sudah pergi ke rumah awak. Tiada elok, sekiranya awak tidak sudi datang ke rumah saya pula," bangau memberitahu.

      "Baiklah! Kalau begitu, esok saya akan datang ke rumah awak," anjing itu bersetuju.

       Keesokan paginya, anjing datang ke rumah bangau. Bangau menghidangkan makanan kepada anjing. Tetapi makanan itu terletak di dalam sebuah bekas bermuncung tinggi.

      "Jemputlah makan!" bangau mempelawa anjing makan.

      "Terima kasih!" jawab anjing.
Namun, anjing tidak dapat makan kerana bekas itu bermuncung tinggi.

      Anjing melihat bangau makan dengan begitu mudah. Paruhnya yang panjang dapat dimasukkan ke dalam bekas bermuncung tinggi itu. Anjing melihat bangau makan dengan begitu lahap.

      Tahulah anjing bahawa bangau berbuat demikian kepadanya kerana sengaja ingin membalas dendam. "Wah, jahat sungguh rupa-rupanya hati burung bangau ini!" fikir anjing.

      Setelah selesai makan, bangau lalu bertanya kepada anjing, "Mengapakah awak tidak makan makanan itu? Adakah makanan itu tidak lazat?"

      Mendengar kata-kata itu, anjing terus memberitahu bangau, "Wahai Sang Bangau! Awak adalah sahabat yang berhati jahat. Awak sengaja berbuat begini kerana ingin membalas dendam kepadaku. Perbuatan saya dahulu tidak sengaja. Saya sudah meminta maaf kepada awak. Tetapi awak rupa-rupanya masih mahu membalas dendam."

      Selepas memberitahu demikian, anjing terus pulang ke rumahnya. Semenjak itu, anjing tidak lagi datang berjumpa bangau.
Bangau pula berasa malu atas perbuatannya itu. Bangau berasa sangat menyesal. Namun, menyesal dahulu ialah pendapatan dan menyesal kemudian sudah tidak berguna lagi.

      Oleh sebab berasa tersangat malu atas perbuatan jahatnya itu, bangau terus berpindah dari tempat tersebut.


0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama