Sabtu, 8 Jun 2013

ERRR~misteri rumah sewa seremban 2

Kisah Seram Misteri Puaka Rumah Sewa

puaka rumah sewa Kisah Seram Misteri Puaka Rumah Sewa Seremban 2
Gambar Sekadar Hiasan
Pagi tu kitorang makan nasi lemak kat luar rumah je, walaupun rumah dah terbuka luas, tapi hati kitorang kuat mengatakan kata tak nak masuk, mungkin trauma.. Tunggu family Man datang dari Sepang lama sangat, yelah nak bawak pawang hebat dari Banting kononnya.. Jam 11.30 pagi barulah family si Man datang sampai 3 kereta, semua adik bradik dia datang nak tengok sendiri agaknya..
Turun² je dari kereta pawang tu dah geleng² kepala, “rumah apa korang duduk ni..” Sambil² tu salam dengan kitorang, kata namanya Tok Sheikh, salam² je kata semangat kitorang dah kene tarik.. Kena seru balik, aku sampai sekarang tak faham apa maksud Tok Sheikh tu.. Kitorang kena suruh masuk dalam van. Hanya Tok Sheikh dengan ayah si Man je yang masuk ke dalam.. Belum masuk, baru kat pintu grill, radio yang plugnya aku dah cabut tiba² terpasang kuat menyebabkan adik bradik si Man bertempiaran lari masuk ke dalam kereta.. Dah la lagu India, mungkin masa thr raga kot, ntah la aku pun tak tau.. Dengan radio kuat bunyi pun dah lari, bayangkn kalau tahu yang radio tu plugnya tak bersambung..mmmm..
Lama jugak Tok Sheikh kat dalam rumah tu, ayah si Man hanya tengok dari luar sebab dia pun aku rasa dah goyang lepas cuba matikan radio tapi plug tak bersambung.. Dalam van semua tekunci mulut, anak² buah si Man yang kecik² semua ketakutan. Apalah kes² macam ni bawak anak² kecik pulak. Tak pasal² budak² tu sekali trauma.. Tak lama pastu aku tengok Tok Sheikh keluar sambil menjinjing anak patung beruang yang coklat besar tu, mahu je mata aku tejojol keluar tengoknya.. Mana tak nya, kitorang bertiga sendiri yang buangnya semalam siap masukan dalam plastik sampah hitam pastu ikat.. Masukan dalam tong sampah kat depan rumah, Man dan Wan aku tengah tido² ayam aku cuit suruh tengok apa yang Tok Sheikh jinjing tu.. Wan hanya mengucap je macam tak percaya, Man pulak terus meluru pergi tong sampah tengok ada tak anak patung tu dekat dalam tong sampah..
Dia jerit² panggil aku, ada la kat dalam ni, tu yang lain.. Aku belari tengok. Ya betul ada, jadi aku ambik dan buka la plastik tu, tapi aku tekejut sebab berat. Aku check kat dalam tu bukannya anak patung yang ada tapi tu hanya batu-bata yang aku gunakan untuk menyanggah pintu² bilik supaya tak tertutup dengan baju² kotor kitorang yang letak dalam bilik air.. Aku tak boleh nak cakap apa dah.. Macam mana boleh dalam tu pulak..
Tok Sheikh datang² kat kitorang marah² sebab tak buang anak patung ni. Aku dah tak tau nak cakap apa² dah, semua Man yang jawab.. Waktu tu jugak Tok Sheikh tu pagar rumah kitorang, tabur garam kasar dan air penawar ke apa ntah.. Sambil² tu family Man beli makanan kat restoran dan buat kenduri kat umah kitorang tu. Buat kenduri kesyukuran masuk rumah baru.. Tiba² rasa lapang umah tu, tak ada la gangguan macam malam semalam.. Kitorang berharap semua dah settle, sebab esok isnin, adik bradik si Man semua balik kecuali ayah dengan maknya yang dah pencen.. Yelah diorang nak pastikan betul² selamat, lepas tu diorang pun risau dengan keselamatan anak diorang..
Hari Ahad ke Isnin tu tak ada apa² berlaku, aku yang mula ragu² sekarang dah mula rasa selamat.. Sampailah hari Khamis siang ayah dengan Mak si Man duduk kat umah tu, langsung tak ada perkara pelik berlaku lagi.. Jadi Khamis petang tu mak ayah si Man nak balik, tapi sebab fikirkan dah jam 6 petang masa tu, hujan lebat pulak tu, ayah si Man tak confident nak drive kereta balik Sepang walaupun dekat je.. Dah berusia, mata pun tak berapa terang..
Khamis malam jumaat tu la puaka rumah sewa tu datang balik, disaksikan sendiri oleh mak bapak si Man sendiri. nanti aku sambung cerita ni lagi.. tapi kali ni lg teruk dan membahayakan

Kisah Seram Misteri Puaka Rumah Sewa Kembali

 Kisah Seram Misteri Puaka Rumah Sewa Seremban 2
Gambar Sekadar Hiasan
Malam Jumaat tu kitorang sembahyang Maghrib secara berjemaah. Selepas tu baca Yasin ramai² macam hari² sebelumnya, supaya puaka rumah sewa tu tak datang ke rumah tu dan kacau kitorang lagi.. Tengah baca Yasin ramai², tiba² pintu dapur di ketuk berkali² dan menyebabkan kitorang semua terhenti mmbaca Yasin. Air di dalam bilik air pulak mencurah² keluar. Tengah aku sibuk pandang pintu dapur yang diketuk, aku ternampak tombol air di sinki di pusing dan menyebabkan air di sinki mencurah²..
Kitorang bangun beramai² sebab ayah Man suruh rapat², kemudian kitorang tutup air di sinki dan kedua² bilik air yang mencurah-curah.. Tapi tak berhasil bila air keluar balik lepas kitorang tutup. Nak tak nak kitorang tutup suis utama di luar rumah.. Itu je lah caranya. Ayah Man telefon Tok Sheikh bagitau yang puaka rumah sewa tu datang balik. Ntah apa yang dibisingkan Tok Sheikh, kononnya kitorang langgar pantang.. Masa mengubat hari tu tak ade pulak dia cakap pasal pantang² ni. Ni baru lah nak crita pasal pantang².. Kononnya kitorang langar pantang sidai pakaian dalam rumah, dia tak ada pesan apa² pun sebelum ni. Ye la macam seluar dalam dengan stoking tak kan la nak jemur kat luar pulak..
Dah puas puaka rumah sewa tu main air, dia kacau eletrik pulak, dari kipas siling, kipas meja, radio sampailah ke lampu yang membuatkan aku tambah kecut.. Sebab lampu terpadam kitorang pakat² duduk kat bawah suis utama. Kemudian pasangkan balik lampu.. Kitorang duduk kat bawah suis tu. Tak ada pulak puaka rumah sewa tu main suis dah lepas tu.. Aku teringat lauk yang dah dibeli untuk makan malam kat dalam pinggan kat dapur, hanya tunggu nasi masak je.. Masa macam ni nak makan pun dah tak ada selera. Terbantut memikirkan benda hal macam ni.. Lepas tu si Man dengan ayahnya pergi dapur ambik lauk² tu nak ajak makan, katanya kalau badan lemah tak makan lagi puaka rumah sewa tu senang kacau kita sebab kita tak ada tenaga..
Aku hilang selera nak makan, Jadi aku minum je, air limau je aku buat tadi sebab belum beli kordial lagi. Lagi pun buat air limau senang, limau, gula dan ais batu je, dah siap air limau satu jug.. Tapi aku pelik masa tuang ke gelas, aku perasan air tu jadi kuning. “Eh bila lak jadi color kuning, setau aku putih je tadi..” Aku buka penutup jug tu, ya Allah bau hancing, dah kene kencing.. Nasib baik aku perasan, kalau tak memang dah minum air kencing la gamaknya aku masa tu.. Masa mak si Man nak senduk nasik, dalam periuk nasi ada seketul najis macam najis manusia ada di dalam rice cooker.. Waktu di buka rice cooker tu, nasi masih panas sebab baru masak, bayangkan lah bau najis tu semerbak mengalahkan bau nasi tu.. Aku sampai keluar rumah termuntah².. Manalah datangnya semua tu..
Sebab tak tahan bau, semua makanan tu kitorang letak kat luar rumah. Memang sah semua makanan ada najis, ntah najis apa kitorang pon tak tau.. Tapi rasanya najis manusia, duduk kat luar rumah kitorang bincang².. Esok nak cari orang pandai mengubat kat kawasan Mambau. Lepas solat Jumaat tu cadang nak cari.. Sebab Tok Sheikh tu tak boleh percaya, sebab puaka rumah sewa tu datang balik, konon² pantang la apa lah, dah la bayar RM200 untuk mengubat tu..

Kisah Seram Misteri Puaka Rumah Sewa Mengganas

puaka rumah sewa meja makan Kisah Seram Misteri Puaka Rumah Sewa Seremban 2
Gambar Sekadar Hiasan
Sibuk² berbincang tu, dalam jam 11 malam, dengar kat ruang tamu rumah suara kanak² gelak² sambil dengar hentakan tapak kaki berlari² seperti yang kitorang alami hari tu.. Yang nampak hanya bayangan hitam 3 orang kanak² sambil membawa api, Tapi yang herannya kali ni aku, Man dan Wan tak nampak, yang nampak hanya ayah dengan mak Man je.. Kitorang hanya dengar suara gelak budak² je.. Tiba² mak si Man menjerit, “telekung tebakar,” cepat² kitorang masuk rumah takut² tak pasal² rumah pulak yang terbakar..
Memang tekejut tiba² telekung terbakar, kitorang rapat² jugak sambil duduk kat bawah suis utama tu. Hairan macam mana telekung tu boleh tebakar.. Mak dengan ayah Man kata diorang sendiri nampak puaka rumah sewa tu yang bakar, tapi pelik kali ni kitorang tak nampak, yang nampak hanya telekung yang berlipat tiba² tebakar.. Bunyi gelak² tu sayup² je lepas kitorang masuk rumah tu, tapi tiba² ada bau tengik macam sesuatu hangus.. “YaAllah,” ayah si Man menjerit tengok sejadah terbakar, masa tu aku tak nak pergi dapur ambik air, sebab pili air kat luar dah tutup mana ada air, aku guna air mineral dalam botol kat depan aku untuk makan tadi, sambil² aku hempas² sejadah tu..
Memang tak boleh jadi kali ni, dah sampai bakar² barang pulak.. Tapi kali ni aku tak la setakut haritu, mungkin sebab ramai, lepas tu ada orang tua pulak tu, rasa macam selamat sedikit walaupun ancamannya lebih bahaya.. Lepas sejadah, langsir pula jadi mangsa, habis tebakar langsir, kali ni si Man ambil air sabun dalam baldi di bilik air, terus simbah sebab api tu jilat langsir tu cepat.. Padahal kitorang dekat dengan langsir tu, sebab duduk kat depan pintu di bawah suis utama, tengok² dah terbakar besar..
Tak habis itu saja, kotak² pon habis tebakar ssemua, tak tau lah nak buat apa lagi. Akhirnya kitorang angkat semua barang bawak ke luar rumah, apa yang boleh tebakar je semua kitorang angkut pergi keluar rumah, letak kat luar pintu.. Tengah sibuk angkat kotak² tu, tiba² rasa asap banyak dari dalam bilik aku, aduh!.. Rupa²nya kain pelikat yang aku buat jadi langsir tingkap dah terbakar separuh, kelam kabut aku tarik sampai tekoyak² hujung kain tu, sebab air dah tak ada pili luar dah tutup, masa aku sentap aku rasa paku² tu tepelanting dek aku sentap sekuat hati..
Masa tu jugak si Man telefon uncle tuan rumah, cakap rumah tu ada masalah.. “Itu rumah baru mana ada masalah,” uncle tu cakap la, ni bukan masalah rumah la uncle ni masalah rumah tu berhantu.. uncle tu gelak je dan jawab, “kalau u nak keluar, deposit umah 2 bulan dan air letrik dia tak nak bagi balik..” Tu je la yang si man cakap ngan aku.. Nak tak nak aku cakap dengan diorang kita kene pulihkan rumah ni, mana ade duit deposit nak cari rumah lain dah.. Rumah lain dia mintak 2+1, pastu deposit air dengan eletrik rm200, sewa sebulan rm270..
Sebab dah pagi, kesian kat mak si Man yang dah macam nak demam, last choice kitorang tido dalam kereta.. Tapi biarkan pintu umah tu terbuka je.. Tingkap pintu kereta saja buka sikit, ye lah kang mati kepanasan pulak. Sampailah pagi subuh tak ade apa² berlaku sampailah ayah si Man pasang kaset mengaji kat dalam kereta, jadi apa berlaku kat dalam rumah tak dengar.. Memang aku tak boleh lelap langsung, dah la esok tu ada kuliah, nak tak nak aku fikir terpaksa la ponteng.. Aku dengan si Wan memang tak boleh tido, tak tau kenapa. Si Man dan family dia semua nyenyak je tido..
Dalam jam 5 pagi tu, tiba² atas kereta macam dipijak², semua terjaga sebab seperti orang meloncat² sambil berlari² atas kereta.. Aku tunduk masa tu, tiba² aku dengar mak si Man menjerit, aku pun terpandang kat cermin depan selipar aku dengan kasut si Wan berjalan sendiri tapi macam di engsotkan.. Si Man keluar dari kereta, lepas tu cuba ambik kasut dengan selipar tu dan baling ke pintu grill.. Waktu tu aku boleh dengar macam ada benda terhempas kat grill tu, aku tak tau apa benda sebab tak nampak.. Tapi aku rasa mesti puaka rumah sewa yang kitorang nampak sebelum ni..
Waktu tu juga ayah si Man azan, dan aku baca ayat kursi kuat², sampailah jam 6.30 pagi hari dah nak siang.. Kesian aku tengok mak si Man, dah la dia ada darah tinggi dan sakit jantung, sempat la aku tengok dia macam meracau sekejap sebelum suami dengan anak dia tenangkan.. Jam 8.00 pagi tu abah si Man suruh kitorang angkat² semua barang masukan dalam kereta.. Habis semua bertabur kat bonet keta, kecuali penyapu, baldi dan benda² besar tu tak bawak, kereta manalah nak muat.. Sebab tak puas hati kat tuan rumah, aku solex kan aje rumah tu pintu dapur dan pintu depan, pastu lampu dan kipas aku biarkan terpasang je.. Biar dia bayar eletrik mahal bulan nih, lepas tu nak masuk rumah kena potong dulu solex tu. Dah dia main² kan kitorang, lepas tu nak pulangkan duit deposit sikit pun tak ada..
Jumaat tu kitorang tak pergi kelas, lepas tu menumpang kat rumah sedara si Man di Bukit Chedang untuk sementara waktu, susah jugak la, walaupun dekat dari kolej tapi tak ada bas, Man terpaksa ulang alik angkut kitorang 2 kali awal minggu.. Sebelum menyewa kat Central Park dengan 2 orang lagi budak kelas kitorang.. March 2002, keluar di Surat Kabar Metro pasal rumah terbakar sendiri di Seremban 2.. Aku dah tau kat mana tempat tu, sebab aku dah alaminya, dah sah² kat rumah yang aku pernah sewa dulu tu.. Siapa ada berita pasal tu, tolong la kongsi URL kat sini, dulu aku ada simpan keratan berita tu, tapi dah nak 11 tahun berlalu, ntah mana aku letaknya..
sumber:Kisah Seram Misteri Puaka Rumah Sewa Seremban 2

ERR~Hantu kucing..

Ramai orang takut akan hantu. Namun begitu tidak ada seorang pun boleh membuktikan dia pernah berjumpa hantu. Gambar hantu tidak pernah kita jumpa. Tidak ada orang yang pernah merakamkan gambar hantu. Jika ada orang berjaya merakam gambar hantu, tentulah dia akan menjadi jutawan kerana gambar itu akan menjadi rebutan. Hantu sebenarnya tidak pernah ada.

      Namun, anehnya sampai sekarang masih ada orang takut akan hantu. Mereka takut kalau berjalan seorang diri pada malam hari. Mereka juga takut melalui kubur pada waktu malam. Kononnya, hantu banyak mendiami kubur.

      Rumah usang yang tidak didiami juga ditakuti. Selain itu, orang juga percaya di dalam hutan banyak hantu.

      Kepercayaan wujudnya hantu masih lagi berakar umbi dalam fikiran manusia semua bangsa.

      Begitulah keadaannya dengan penduduk Kampung Lubuk Hantu. Kampung ini didiami oleh lima puluh keluarga bercampur aduk Melayu, Cina, dan India.

      Kampung yang terletak di pinggir sungai itu dikelilingi hutan dari belakang dan kawasan sawah padi yang luas di depan. Kampung ini dihubungi oleh jalan kecil ke jalan raya. Jalan itu masih tidak diturap tar. Jalannya bertanah, bercampur aduk dengan batu dan pasir.
  Kebanyakan penduduknya bekerja sebagai petani. Mereka menanam padi dan sayur-sayuran. Ada juga yang membela lembu dan ayam itik. Selain itu, ada juga yang bertugas sebagai guru dan pegawai kerajaan.

      Di samping menanam padi, sawah kampung itu turut menjadi punca rezeki yang lain. Dalam sawah itu banyak ikan. Airnya masih bersih. Tidak dicemari oleh bahan kimia dan racun. Oleh sebab itu, ikan masih boleh membiak seperti dahulu.

      Orang kampung keluar ke sawah menangkap ikan dengan bermacam-macam cara. Kalau padi belum ditanam, mereka menyuluh ikan. Mereka menggunakan pelita ayan atau obor rotan. Obor rotan lebih terang kerana apinya lebih besar.

      Obor ini diperbuat daripada sebatang rotan kertas sepanjang kira-kira satu meter. Pangkal rotan itu dibalut dengan kain buruk dan disumbat ke mulut botol yang berisi minyak tanah.

      Di hujung rotan itu pula dibalut dengan aluminium atau besi nipis, panjangnya kira-kira sejengkal. Apabila botol ditonggeng ke bawah, minyak tanah mengalir melalui lubang halus rotan itu. Minyak itu akan mengalir dan keluar di hujung rotan itu. Apabila dinyalakan, apinya terang-benderang.

      Menyuluh ikan dengan menggunakan pelita rotan adalah lebih mudah. Hal ini lebih mudah kerana hujungnya boleh dirapatkan ke permukaan air melalui celah-celah umbi padi.

  Oleh yang demikian, pandangan lebih jelas dan ikan-ikan yang tidur mudah kelihatan.

      Apabila ikan ditemui, ikan itu akan ditetak dengan menggunakan parang atau golok. Ada juga menggunakan serkap buluh.

      Ikan yang ditangkap dimasukkan ke dalam raga batang. Raga itu diperbuat dengan buluh yang diraut. Saiznya agak besar. Raga itu dibubuh tali supaya senang disangkut ke bahu.

      Apabila malam, kelihatan cahaya berkelip-kelip dari sawah itu. Cahaya itu datang dari obor penyuluh ikan.

      Apabila padi membesar hampir menguning, biasanya mereka menggunakan taut, iaitu sejenis alat menangkap ikan cara lama. Bentuknya sama dengan kail, cuma batangnya lebih pendek dan diperbuat daripada buluh. Taut mempunyai mata berduri dan benang tangsi. Umpannya ialah cacing gelang. Apabila matanya disalut dengan cacing, taut ditinggalkan di situ beberapa lama.

      Biasanya, waktu senja barulah taut ini ditengok. Cara itu berbeza dengan mengail kerana mesti ditunggu sehingga ikan makan umpan.

      Menahan taut memerlukan banyak batang. Ada yang sampai lima puluh batang atau lebih. Mengail biasanya satu atau tiga batang sahaja. Batang taut diperbuat daripada buluh. Batang kail pula diperbuat daripada batang salak.
  Selain taut dan mata kail, penduduk kampung itu turut menggunakan bubu atau tuar. Alat ini ditahan di kawasan air mengalir, tempat ikan bermain. Lukah atau bubu biasanya ditahan di tempat pergenting, iaitu air akan menuju ke situ.

      Ikan yang melalui kawasan itu akan terperangkap ke dalam lukah. Itulah sebabnya terciptanya simpulan bahasa, "seperti menahan lukah di pergenting atau " menangguk di air keruh".

      Selain itu, orang kampung itu juga menggunakan tangguk, takung, dan menahan jaring.

      Bagaimanapun, ada perkara yang tidak disenangi oleh penduduk kampung itu. Di tengah-tengah sawah itu terdapat sebuah lubuk yang banyak ikan. Di situ terdapat sebatang pokok gucil yang besar dan sebatang pokok beringin. Kawasan itu memang banyak ikan. Tetapi orang kampung takut hendak menangkap ikan di kawasan itu.

      Tempat itu dipercayai berhantu. Kata orang, ada hantu kucing. Pernah ada orang yang terlajak menyuluh ke kawasan itu dikejar oleh kucing besar.

      Ketika orang itu sedang asyik menyuluh, satu lembaga hitam datang dari belakang. Lembaga itu berbunyi seperti kucing.

      Orang itu pun lari lintang-pukang. Dia tiba di rumah lalu pengsan. Raga ikannya jatuh entah di mana. Hampir sebulan orang itu demam dan meracau-racau seperti orang gila.
  Sejak itu, orang kampung langsung tidak berani mendekati kawasan itu. Tempat itu memang terpencil dan menggerunkan, terutama pada waktu malam ketika bulan mengambang.

      Dari jauh, pokok gucil dan pokok beringin itu kelihatan hitam dan menyerupai lembaga binatang. Kadangkala kelihatan seperti kucing. Kadangkala kelihatan seperti gajah.

      Sekali-sekala kelihatan percikan api dan cahaya menyinar dari pokok itu. Ada juga orang kampung mendakwa nampak lembaga putih melayang dari pokok itu, lalu menghilang di langit.

      Pendek kata, berbagai-bagai cerita timbul dari semasa ke semasa sehingga menyebabkan kawasan itu semakin digeruni orang.

      Lubuk dan sawah di kawasan itu tidak dikunjungi orang, melainkan pada waktu siang. Tidak ada orang yang  berani menangkap ikan di sekitar kawasan itu. Oleh sebab tidak ada gangguan manusia, kehidupan ikan di situ aman damai. Ikan keli begitu banyak membiak di dalam lubuk dan bebas bergerak di dalam sawah padi. Begitu juga dengan ikan yang lain.

      Suatu masa, ikan di sawah kampung itu semakin kurang. Penggunaan baja dan racun serangga ketika menyuburkan padi dan sayur-sayuran menyebabkan kehidupan ikan terancam. Banyak telur ikan mati sebelum menetas.
   Orang kampung tidak mendapat tangkapan yang lumayan lagi. Taut kurang mengena. Tuar dan bubu tidak banyak ikan yang terperangkap. Kalau menyuluh pun tidak banyak ikan yang ditemui. Untuk mendapatkan sepuluh ekor ikan keli pun terpaksa menyuluh sampai dinihari.

      Pada suatu malam, dua orang penduduk kampung itu berpakat akan pergi menyuluh ikan di lubuk puaka. Mereka nekad dan memberanikan diri untuk cuba pergi menyuluh di kawasan lubuk puaka itu.

      "Kita cuba! Saya rasa tidak ada apa-apa. Mana ada hantu ?" kata Daud kepada Cikgu Zaki pada suatu petang di rumah Cikgu Zaki.

      "Betul! Saya pun tidak pernah jumpa hantu. Cerita orang adalah," jawab Cikgu Zaki sambil minum kopi.

      "Belum ada sejarah dalam dunia ini orang mati kerana hantu. Mati kerana kemalangan jalan raya ramai. Boleh dikatakan setiap hari," tingkah Daud.

      Mereka ketawa.

      Malam yang dijanjikan telah tiba. Malam itu bulan agak malap. Udara pun agak sejuk. Mereka bersiap sedia. Sebaik sahaja selesai sembahyang Isyak, Cikgu Zaki sudah siap dengan obor rotan dan raga batang. Malam itu, malam minggu. Esok cuti. Dia tidak perlu pergi sekolah. Boleh menyuluh sampai pagi.
  Cikgu Zaki memakai baju askar yang dibelinya dari kedai guni. Berseluar panjang hitam. Kepalanya dibelit dengan tuala buruk.

      Sebentar kemudian, Daud datang. Dia berkain sarung. Berbaju leher bulat biru. Kepalanya bersemuntal kain lepas buruk. Daud hanya berkaki ayam. Selepas menghirup kopi yang disediakan oleh Cikgu Zaki, mereka keluar menuju ke sawah.

      Ketika mereka sampai di sawah, sudah ramai orang menyuluh ikan. Petak sawah digenangi air sehingga paras betis. Anak padi yang dicedung (tanam) baru pulih. Air sawah agak jernih. Kalau ada ikan, mudah kelihatan.

      Cikgu Zaki dan Daud cuba menyuluh dalam beberapa bidang sawah, tetapi tidak ada ikan. Tempat itu baharu sahaja disuluh orang. Kesan tapak kaki masih baharu. Air pun masih keruh kesan dilalui orang.

      "Sudahlah! Tidak ada ikan. Kita terus ke lubuk. Buang masa sahaja," kata Daud.

      "O.k.! Kita terus ke sana," jawab Cikgu Zaki.

      Mereka terus beredar. Langkah mereka dipercepatkan. Mereka berjalan di atas batas sawah. Mereka mengangkat obor rotan tinggi-tinggi supaya jalan kelihatan lebih terang.
  Angin bertiup agak kencang. Udaranya semakin sejuk. Di atas langit kelihatan kilat memancar. Kelihatan seolah-olah langit retak. Namun, ketika kilat memancar ternampak tompokan awan putih, menandakan cuaca baik.

      Sekali-sekala kedengaran suara guruh sayup-sayup di angkasa. Bunyi suara unggas padang memecah suasana sunyi.

      Mereka terus melangkah. Mereka semakin menghampiri lubuk puaka. Dari jauh, kelihatan dua lembaga hitam berdiri tegak. Tapi mereka tidak rasa apa-apa kerana lembaga itu hanya pokok gucil dan pokok beringin. Dua batang pokok itu kelihatan berbalam-balam seperti dua gergasi sedang berdiri.

      Bagaimanapun, hati mereka terasa juga gementar. Tetapi mereka mesti memberanikan diri dan banyak bersabar.

      Kepercayaan kepada hantu tidak boleh membunuh manusia mesti dipegang teguh.

      "Kita sudah sampai. Mari kita cuba menyuluh dalam relung (sawah) ini dulu," suara Cikgu Zaki memecah kesunyian.

      Mereka turun ke dalam sawah. Air sawah itu agak dalam sehingga ke paras lutut. Mereka membawa kelewang (parang panjang) untuk menetak ikan. Kawasan air dalam biasanya didiami ikan haruan besar. Ikan keli pula suka bermain di tempat air yang lebih cetek.
 Daud dan Cikgu Zaki berpecah agak jauh.

      Tiba-tiba terdengar Daud menetak sesuatu di dalam air. Ceburan air mematikan pelitanya.

      "Ada apa Daud?" tanya Cikgu Zaki apabila mendengar Daud bersuara cemas.

      "Ikan haruan. Besarnya! Pelita pun padam," jawab Daud.

      Daud berjaya menangkap ikan haruan itu. Badan ikan hampir putus ditetak oleh Daud. Daud simpan ikan itu di dalam raga batang.

      Cikgu Zaki juga telah mendapat beberapa ekor ikan puyu-puyu dan ikan mengkepal. Ikan puyu itu besar-besar belaka. Ikan itu disimpan di dalam raga batang.

      Mereka benar-benar asyik menyuluh kerana ikan terlalu banyak ditemui. Mereka tidak sedar, langkah mereka menghampiri pokok gucil. Masing-masing membawa haluan sendiri. Daud jauh ke arah lubuk, manakala Cikgu Zaki pula mendekati pokok gucil.


 












Ketika sampai dekat pokok gucil, Cikgu Zaki sudah mendapat lima ekor ikan keli lembut. Raganya hampir sarat. Ketika berada berhampiran pokok gucil, Cikgu Zaki terdengar sesuatu.

      Cikgu Zaki cuba menumpukan pendengarannya dengan teliti, sambil memerhati sekeliling. Dia juga mencari-cari Daud. Tetapi Daud tidak kelihatan. Cahaya obor rotan Daud juga tidak nampak.

      Cikgu Zaki menegakkan kepala sambil memandang ke depan. Lehernya terasa agak berat untuk dipusing ke kiri dan ke kanan.

      Tiba-tiba dia terdengar suara kucing mengiau. Suara itu tidak berapa lantang, kedengaran suara seperti kucing mendapat sesuatu.

      Cikgu Zaki cuba memasang telinga sambil matanya mengerling ke kiri dan ke kanan.

      Bulu tengkuk Cikgu Zaki berdiri tegak. Dia mulai rasa takut.

      "Suara apa ini? Macam suara kucing," bisiknya.

      Perasaan Cikgu Zaki semakin cemas. Dia mulai ragu-ragu, adakah suara itu benar atau tidak?







Tiba-tiba angin bertiup kencang. Satu lembaga hitam berdiri di belakang Cikgu Zaki. Serentak dengan itu terdengar suara kucing mengiau dengan kuatnya.

      "Hantu! Daud! Daud! Hantu!" pekik Cikgu Zaki. Dia terus cabut lari.

      Lembaga hitam itu mengejar Cikgu Zaki. Bunyi nafas lembaga hitam itu dekat dengan telinga Cikgu Zaki.

     Cikgu Zaki terus berlari dengan lajunya. Dia merempuh masuk dalam sawah dan memijak apa sahaja yang ada. Suaranya terus memekik. Hantu! Hantu!

      Cikgu Zaki tidak tahu sejauh mana dia berlari dan ke mana ditujunya. Ketika dia membuka mata dan dirinya pulih, Cikgu Zaki dapati dirinya terbaring di ruang tamu rumahnya.

      Dia dikelilingi ramai orang. Isterinya yang berada di sisi kepala mengusap-ngusap rambutnya dengan air. Cikgu Zaki juga terhidu bau kemenyan dibakar. Dia juga ternampak Pawang Jusoh tersandar di dinding. Pawang Jusoh tersenyum.

      Cikgu Zaki juga terlihat Daud berada di kakinya. Daud memicit-micit betis Cikgu Zaki.

      "Apa jadi dengan saya, Daud?" tiba-tiba Cikgu Zaki bersuara lemah.




  Daud tersenyum lucu. Matanya merenung Cikgu Zaki sambil melerekkan senyumnya agak panjang.

      "Hantu gucil mengamuk," bisik Daud. Orang ramai yang datang melawat Cikgu Zaki tersenyum lebar.

      "Kita pergi lagi menyuluh di lubuk puaka!" bisik Daud perlahan-lahan kepada Cikgu Zaki. Cikgu Zaki tersenyum panjang sambil mengangguk-angguk kepalanya.

      Peristiwa Cikgu Zaki dikejar hantu kucing menggemparkan penduduk kampung. Pagi-pagi lagi cerita itu menjadi tajuk utama di kedai kopi.

      "Cikgu Zaki dan Daud dikejar hantu kucing ketika menyuluh ikan di lubuk puaka. Cikgu Zaki pengsan apabila sampai di rumah. Mujur ada Pawang Jusoh. Dia berjaya menghalau hantu itu dan memulihkan Cikgu Zaki," begitulah berita lisan itu.

      Tetapi cerita sebenarnya lain. Hanya Cikgu Zaki dan Daud sahaja yang tahu. Cerita itu amat menguntungkan Cikgu Zaki dan Daud. Setiap malam mereka terus menyuluh di lubuk puaka. Mereka mendapat banyak ikan, sedangkan orang kampung terus percaya lubuk itu berhantu.

  Sebenarnya, seminggu sebelum itu, kucing di rumah Cikgu Zaki melahirkan empat ekor anak. Pada malam Cikgu Zaki hendak pergi menyuluh ikan, salah seekor anak kucing itu masuk ke dalam raga batang tersebut dan tidak dapat keluar. Hal itu tidak disedari oleh Cikgu Zaki.

      Oleh yang demikian, anak kucing yang sedang tidur di dalam raga batang itu turut dibawanya bersama ke sawah.

      Apabila Cikgu Zaki memasukkan ikan keli ke dalam raga batang itu, terjerit-jeritlah anak kucing itu kerana terkena sengat ikan keli tersebut. Cikgu Zaki pula menyangka suara itu ialah suara hantu kucing. Dia berlari lintang-pukang kerana sangat ketakutan, sambil menjerit, "Tolong! Hantu Kucing! Hantu Kucing!"

      Oleh yang demikian, hanya dia dan Daud sahaja yang mengetahui peristiwa lucu itu. Peristiwa itu menjadi rahsia bagi mereka berdua. Manakala orang kampung pula, tiada seorang pun yang berani pergi ke tempat yang dikatakan berpuaka itu. Mereka menyangka hantu kucing benar-benar ada di tempat itu.


ERRR~Hantu pokok bunut

Semua penduduk kampung itu tahu, pokok bunut itu berhantu.

      Pokok yang berumur lebih daripada seratus tahun itu amat ditakuti. Perdunya besar. Dahannya merimbun menutup jalan. Banir dan akarnya itu menjalar ke merata tempat.

      Dari dahan itu berjuntai pula pokok beluru. Buah beluru bergantungan seperti parang. Dari jauh pokok bunut itu kelihatan seperti lembaga hitam yang besar. Bentuknya seperti gergasi duduk.

      "Tidak berani saya melalui pokok itu, kalau malam. Ada hantu. Hantu terbang warna putih. Kadang-kadang ada api," kata seorang penduduk asal kampung itu.

      "Kadang-kadang terdengar suara menangis, ketawa, dan minta tolong apabila larut malam," tambahnya. "Sudah ramai orang kena usik. Lari dan sakit berbulan-bulan," katanya lagi.

      Begitulah pandangan penduduk Kampung Pasir Panjang terhadap pokok bunut itu.

      Kampung itu dihubungi oleh sebatang jalan ke Pekan Ketereh. Jauhnya empat kilometer. Jalan itulah digunakan oleh penduduk apabila hendak keluar membeli-belah di pekan. Tetapi tidak ada orang yang berani keluar seorang diri. Mereka keluar beramai-ramai dan pulang sebelum tengah malam, kecuali yang menggunakan kenderaan.

      Disebabkan pokok itu, penduduk Kampung Pasir Panjang tidak keluar malam. Mereka lebih suka bersama keluarga menonton TV.


 Pada suatu hari, seorang budak disuruh oleh ibunya membeli garam di Pekan Ketereh. Budak itu bernama Lamin.

      Lamin seorang budak yang baik. Dia amat taat akan orang tua. Lamin tidak pernah menentang kata-kata ibu dan sentiasa menurut perintah. Lamin juga dikenali di dalam kalangan kawan-kawannya kerana pandai. Dia juga disukai oleh guru-gurunya kerana bijak dalam pelajaran.

      Walau bagaimanapun, Lamin memiliki sifat buruk, iaitu suka bersembang. Walaupun dia baru darjah enam, suka bergaul dengan orang-orang dewasa. Lamin petah bercakap. Oleh sebab itu disenangi orang. Kalau Lamin bersembang, dia lupa segala-galanya. Dia lupa makan dan minum kalau boleh berbual. Dia juga suka mendengar cerita.

      Hari sudah senja. Lamin terpaksa juga keluar ke Pekan Ketereh. Kampungnya dengan pekan hanya empat kilometer. Hanya lima belas minit jika mengayuh basikal.

      "Beli garam sekilo. Emak hendak masak gulai ikan keli," kata emaknya. Lamin amat suka makan ikan keli. Keli itu dia yang cari. Lamin menahan lukah di sawah.

      Lamin terus pergi dengan menunggang basikal tua ayahnya.

      "Balik cepat! Nanti leka, tidak masak ikan ini," gesa emaknya.

      "Baiklah, mak!" jawab Lamin.





Lamin terus menunggang basikal dengan laju. Waktu itu Lamin berselisih dengan orang ramai yang balik ke rumah. Apabila sampai di pekan, Lamin terus masuk runcit. Dia mengambil garam berbuku yang diisi dalam beg plastik.

      "Berapa harga garam ini?" tanya Lamin. "Lima puluh sen," jawab tuan kedai. Lamin membayar harga garam.

      Dia letak garam itu di atas gerai basikal. Lamin menyepit garam itu dengan penyepit gerai yang sedia ada. Dia bergegas hendak pulang.

      "Eh, ada goreng pisang! Baik aku beli," bisik hati Lamin. Lamin menongkat basikal di depan gerai goreng pisang.

      "Hendak goreng pisang, Lamin?" tanya Mak Siah, penjual goreng pisang itu.

      "Percuma atau kena bayar?" usik Lamin.

      "Kalau engkau mahu, percuma pun boleh, bayar pun boleh," jawab Mak Siah yang sudahpun mengenali Lamin.

      "Emak engkau tidak datang?" Mak Siah kemudian bertanya.

      "Tidak! Dia suruh saya beli garam," jawab Lamin.

      "Buat apa garam?" tanya Mak Siah.

      "Gulai keli," jawab Lamin.



"Oh, ikan keli! Sedap itu. Banyakkah? Juallah sedikit," ujar Mak Siah lagi.

      "Tidak banyak. Lima ekor sahaja. Kena lukah yang saya tahan," jelas Lamin sambil bertenggek di atas gerai.

      "Tunggulah dahulu. Sebentar lagi masaklah," kata Mak Siah lagi.

      Mereka terus berbual. Hari senja sudah beransur tua.

      "Goreng pisang belum masak?" tiba-tiba Lamin bertanya.

      "Sudah masak tadi lagi. Aku ingat engkau belum hendak balik," jawab Mak Siah.

      Lamin membayar harga goreng pisang lalu pergi.

      "Berani engkau pulang seorang diri?" tanya Mak Siah.

      "Be..be..berani," jawab Lamin teragak-agak.

      Lamin mengayuh basikal dengan laju. Hatinya rasa berdebar-debar dan cemas. Dia mesti pulang melalui pokok bunut. "Harap-harap ada orang yang hendak balik," bisik Lamin. Lamin memperlahankan basikalnya. Dia menoleh ke belakang. Dia berharap ada orang. Tetapi seorang pun tidak ada.

      Hari semakin gelap. Langit juga hitam seperti hendak hujan. Angin mulai bertiup kencang. "Hendak hujan?" bisik Lamin dalam keadaan cemas dan serba salah sambil mengayuh basikal. "Pokok bunut! Pokok bunut!" Lamin menyebut dalam hatinya. Dia semakin dekat dengan pokok bunut. Dia bertekad akan melalui pokok bunut itu.

   Lamin terdengar bunyi dentingan. Dentingan itu semakin acap. Mula-mula satu dentingan. Kemudian dua dentingan. Lepas itu dentingan itu berturut-turut. Ting! Ting! Ting! Ting!

      Apalagi, Lamin terus memecut basikalnya. Ketika betul-betul sampai di bawah pokok bunut, satu lembaga hitam melayang menuju Lamin. "Hantu! Hantu! Tolong!" pekik Lamin sambil mengayuh basikalnya sehabis laju.

      Bunyi ting ting sudah hilang daripada pendengaran Lamin. Lamin tidak tahu apa sudah terjadi. Sebaik sahaja Lamin tiba di depan tangga rumahnya, dia pengsan. Apabila Lamin membuka mata, dia sudah terbaring di atas tilam. Sekelilingnya penuh dengan orang ramai. Emaknya mengusap-usap rambut Lamin dengan air.

      "Lamin! Engkau sudah sedar? tiba-tiba Lamin terdengar suara emaknya.

      "Apa yang terjadi dengan saya, emak?" tanya Lamin dengan suara yang lemah.

      "Engkau diusik hantu bunut. Tetapi tidak apa. Bomoh sudah menghalaunya," jawab emaknya.

      Lamin terlalu penat lalu tertidur semula.


  Berita Lamin diusik hantu bunut menggemparkan penduduk Kampung Pasir Panjang. Ramai orang datang ke rumah Lamin bertanya khabar. Dua tiga hari Lamin tidak boleh keluar rumah. Dia terpaksa melayan pelawat dan bercerita mengenai peristiwa itu. Cerita Lamin meleret-leret dari mulut ke mulut. Orang kampung semakin takut hendak keluar malam.

      Tetapi cerita yang sebenarnya hanya Lamin seorang yang tahu. Dia sudah tahu apa sebenarnya yang telah berlaku pada dirinya pada malam itu.

      Bunyi ting ting dari belakang basikalnya itu ialah kerana garam tumpah menimpa lidi basikalnya. Garam itu berbuku besar. Bukan garam mesin. Apabila basikal itu laju, buku garam itu semakin banyak tumpah menimpa lidi basikal. Lembaga hitam yang melayang menuju Lamin itu pula sebenarnya ialah sebidang upih pinang yang gugur. Upih itu sudah tua lalu gugur dan melayang ditiup angin.

      Lamin tersenyum sendirian apabila teringat akan kejadian lucu itu.




EMMM~Goha dengan penggali kubur

 Pada suatu hari, pagi-pagi lagi pintu rumah Goha diketuk orang.

      Tuk! Tuk! Tuk! Ketukan itu bertalu-talu. Namun, Goha tidak tergesa-gesa untuk pergi membuka pintu itu. Dia memang pantang untuk membuka pintu rumahnya, kalau seseorang itu tidak terlebih dahulu mengucapkan salam.

      Tuk! Tuk! Tuk! Ketukan itu masih kedengaran lagi. Malah berserta dengan panggilan, “Tuan Goha! Tuan Goha!” Tetapi Goha masih berdiam diri, seolah-olah telinganya pekak.

      “Mengapa awak tidak pergi membuka pintu itu?” tiba-tiba terdengar suara isterinya.

      Namun, Goha masih tetap tidak peduli.

      “Itu macam suara jiran kita. Pergilah awak buka pintu!” ujar isterinya.

      “Mana awak tahu itu jiran kita? Mungkin perompak!” Goha sengaja berpura-pura tidak mengenali suara jirannya.

      “Saya tahu! Sudah bertahun-tahun kita tinggal di sini. Saya tahu itu ialah suara jiran kita. Pergilah lekas buka pintu!” kata isterinya lagi.




Tuk! Tuk! Tuk! Pintu itu masih diketuk.

      Mahu tidak mahu, terpaksalah Goha mengalah pada kata-kata isterinya itu. “Tunggu sekejap!” Goha melaung kuat supaya didengar oleh jirannya itu. Dengan demikian, jirannya akan menyangka dia hendak membuka pintu.

      Namun demikian, Goha sebenarnya tidak terus pergi ke muka pintu itu. Sebaliknya, dia pergi ke pintu dapur. Dibukanya pintu dapur itu dan terus keluar.

      Goha pergi ke hadapan rumahnya. Di situ, dia melihat jirannya sedang tercegat di hadapan pintu. Terkejutlah jirannya apabila melihat Goha.

      “Tadi saya terdengar suara tuan di dalam rumah. Kalau bukan suara tuan, suara siapa pula?” jirannya berasa hairan.

      “Oh, tadi memang suara saya!” ujar Goha.

      “Tetapi sekarang Tuan Goha datang dari mana pula?” jirannya masih berasa hairan.

      “Datang dari dalam rumah saya,” jelas Goha.



 Jirannya terdiam. Berkerut dahinya kerana berasa bingung.

      “Saya keluar dari pintu dapur,” jelas Goha lagi sambil tertawa.

      Mendengar penjelasan itu, barulah jirannya itu dapat memahaminya.

      Namun demikian, jirannya itu sebenarnya masih tetap berasa hairan. “Mengapa pula Tuan Goha keluar dari pintu belakang dan enggan membuka pintu hadapan?” fikirnya dalam hati.

      Jirannya itu ingin cuba bertanya lagi, mengapa Goha berbuat demikian. Namun, dia tidak berani bertanya lagi. Dia tahu, Goha memang selalu berkelakuan aneh dan suka berjenaka. Oleh yang demikian, dia berdiam diri sahaja dan tidak ingin bertanya apa-apa lagi.

      Tuk! Tuk! Tuk!

      Pintu itu diketuk lagi. Tetapi bukanlah diketuk oleh jirannya itu. Sebaliknya, pintu itu diketuk oleh Goha sendiri.

      Perbuatan itu semakin menghairankan jirannya. Oleh yang demikian, jirannya lalu terus bertanya, “Mengapakah pula Tuan Goha mengetuk pintu rumah sendiri?”

 “Jiran kita ini adalah tamu kita. Dia datang ke rumah kita. Jadi saya tolong ucapkan salam untuknya. Saya juga tolong ketukkan pintu untuknya. Saya adalah seorang tuan rumah yang sangat baik hati,” jelas Goha.

      Isteri Goha tidak berkata apa-apa lagi. Dia tahu, suaminya memang sangat pintar berjenaka. Oleh sebab itu, dia tidak mahu bertanya apa-apa lagi.

      Goha lalu menjemput jirannya masuk ke dalam rumah.

      “Saya datang ini, sekejap sahaja,” ujar jirannya.

      Goha tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalanya. Sebelum sempat jirannya itu berkata lagi, Goha sudah bergegas masuk ke dapur.

      Goha tidak mahu  menyusahkan isterinya. Oleh itu, dia menyediakan sendiri minuman untuk jirannya. Dia menggunakan gelas yang paling kecil. Minuman pula diisikan separuh gelas sahaja.

      “Mengapa sediakan minuman yang sedikit sahaja?” isterinya bertanya.

      “Jiran kita itu mahu datang sekejap sahaja. Dia tidak mahu duduk lama. Jika saya sediakan minuman dalam gelas besar, tentulah dia akan lambat pulang,” ujar Goha.


 Terkejutlah jiran itu apabila melihat Goha menghidangkan minuman dalam gelas yang sangat kecil. Minuman itu pula hanyalah separuh gelas sahaja. Namun, dia tidak berani berkata apa-apa. Dia tahu, Goha memang selalu berkelakuan aneh.

      “Kedatangan saya ini adalah untuk menyampaikan berita,” kata jirannya.

      “Minumlah dahulu!” Goha mempelawa jirannya minum.

      Terpaksalah jirannya itu minum terlebih dahulu. Sekali teguk sahaja, habislah minuman itu.

      “Berita apa yang saudara maksudkan tadi?” Goha lalu bertanya.

      “Saya ingin memberitahu kepada Tuan Goha bahawa salah seorang jiran kita sudah meninggal dunia,” jirannya memberitahu.

      “Jiran yang mana satu?” Goha ingin tahu.

      “Jiran yang tinggal di hujung sana. Rumah di sebelah kanan. Rumah yang kedua puluh,” jelas jirannya itu.

  Goha mengangguk-anggukkan kepalanya. “Ya, saya mengenalinya!” ujar Goha.

      “Dia seorang yang sangat miskin. Dia tidak meninggalkan walau sekeping wang pun,” jelas jirannya lagi.

      Goha masih mengangguk-anggukkan kepalanya.

      “Saya fikir, kita semua harus berkongsi sedikit wang,” kata jirannya itu.

      Goha tercengang mendengar kata-kata itu. “Mengapa pula? Orang sudah mati tidak memerlukan wang lagi.”

      “Kita harus membayar upah penggali kubur. Kalau tidak, bagaimana mayatnya hendak ditanam?” kata jirannya itu.

      “Baiklah, kalau begitu! Saya sanggup bersedekah,” Goha bersetuju dengan cadangan itu.

      Beberapa orang penduduk yang tinggal di kawasan itu memberikan sedekah masing-masing. Menjelang petang, mayat jiran yang meninggal dunia itu selamat dikebumikan.

 Namun, beberapa hari kemudian, barulah Goha mengetahui bahawa penggali kubur itu mengambil upah yang sangat mahal. Marahlah Goha terhadap perbuatan penggali kubur itu.

      “Tidak patut penggali kubur itu mengambil upah yang begitu mahal,” rungut Goha.

      Selang beberapa hari kemudian, Goha pergi ke kawasan perkuburan. Dia ingin bertemu dengan penggali kubur itu. Kebetulan, penggali kubur itu berada di situ.

      “Awak sedang buat apa?” Goha bertanya.

      “Oh, saya sedang berehat, wahai Tuan Goha!” penggali kubur itu menjawab.

      “Mengapa awak tidak menggali kubur?” Tanya Goha lagi.

      “Tidak ada orang mati. Macam mana saya hendak gali kubur?” jelas penggali kubur itu.

      Goha termenung sejenak. Kemudian dia bertanya lagi, “Mahukah awak mengambil upah menggali kubur?”

 Mendengar pertanyaan Goha, penggali kubur itu terus menjawab dengan perasaan gembira, “Sudah tentulah saya mahu,wahai Tuan Goha! Kerja saya memang mengambil upah menggali kubur. Jika saya tidak mahu melakukannya, sudah tentulah saya tidak akan mempunyai wang.”

      Goha terdiam sejenak. Kemudian dia berkata, “Kalau begitu, awak galilah sekarang lubang kubur itu.”

      Penggali kubur itu, tanpa berlengah lagi, terus melakukan kerjanya. Sementara Goha pula menunggu di situ. Akhirnya, siaplah penggali kubur itu menggali kubur tersebut.

      “Bilakah mayat itu akan dibawa ke mari?” tanya penggali kubur itu.

      “Awak tunggulah!” ujar Goha.

      Selepas itu, Goha terus pulang ke rumahnya.

      Penggali kubur itu terus menunggu. Sehingga lewat petang, mayat yang ditunggu-tunggunya tidak juga tiba. Hairanlah penggali kubur itu.
 Keesokan harinya, penggali kubur itu menunggu lagi. Tetapi mayat yang ditunggu-tunggu itu masih belum tiba. Akhirnya, penggali kubur itu mengesyaki Goha telah memperdayakannya. Marahlah ia kepada Goha.

      Tanpa membuang masa lagi, penggali kubur itupun segera mencari Goha. Puaslah ia cuba mencari Goha di sana sini. Namun, tiada jumpa.

      Pada suatu hari, secara kebetulan, dia terserempak  dengan Goha di dalam pasar. Apalagi! Ia terus meluru mendapatkan Goha. Hatinya marah bukan kepalang.

      “Tuan Goha!” katanya. “Tuan telah menipu saya.”

      “Mengapa awak berkata begitu?” tanya Goha.

      “Tuan menyuruh saya menggali sebuah kubur. Tetapi tiada siapa yang datang membawa mayat,” ujar penggali kubur itu.

      “Mayat itu belum ada!” jelas Goha pula.

      “Mengapa pula demikian?” penggali kubur itu bertanya dengan perasaan hairan.




 Goha lalu menjawab, “Kubur itu sebenarnya adalah untuk diri saya. Tetapi sekarang, saya belum meninggal dunia.”

      Tercenganglah penggali kubur itu setelah mendengar jawapan tersebut. Dengan perasaan berang, dia cuba meminta upahnya daripada Goha, “Kalau begitu, bilakah saya boleh mendapatkan upah saya?”

      Tetapi Goha menjawab, “Tunggulah dulu sehingga saya meninggal dunia.”

      Terdiamlah sejenak penggali kubur itu apabila mendengar Goha menjawab demikian. Disebabkan rasa masih belum berpuas hati, dia cuba bertanya lagi, “Kalau begitu, bilakah tuan akan meninggal dunia?”

      “Manalah saya tahu?” jawab Goha lagi.

      Penggali kubur itu terdiam lagi kerana berasa malu pada dirinya sendiri. Dia tahu soalannya itu sangat bodoh.

      Namun demikian, penggali kubur itu masih belum berpuas hati. Dia terus bertanya lagi, “Mengapakah pula saya harus menunggu sehingga Tuan Goha meninggal dunia?”

  “Bukankah kamu biasanya akan menerima upah selepas mayat selesai dikebumikan?” soal Goha lagi.

      Penggali kubur itu terdiam. Dia tidak dapat bertanya apa-apa lagi. Dia tahu kata-kata Goha itu memang benar.

      Oleh yang demikian, penggali itupun terus berlalu dari situ. Sambil melangkah pergi, dia cuba berfikir mengapa Goha berbuat demikian terhadap dirinya.

      “Tentu ada sebabnya, mengapa Tuan Goha sengaja memperdayakan diriku. Jika tidak, masakan dia sanggup berbuat demikian,” fikir penggali kubur itu dengan perasaan hairan. Lebih-lebih lagi kerana selama ini, dia tahu Goha adalah seorang yang sangat baik hati.

      Beberapa hari lamanya, penggali kubur itu cuba memikirkan hal itu. Akhirnya, dia insaf bahawa Goha tidak menyukai perbuatannya, suka mengambil upah yang mahal untuk menggali kubur.

      Sejak itu, penggali kubur itu tidak lagi mengambil kesempatan mengenakan upah yang mahal. Sebaliknya, apabila ada orang meninggal dunia, dia akan menggali kubur secara percuma untuk mendapatkan pahala. Dia hanya akan mengambil wang apabila seseorang itu menghulurkan sebarang upah secara ikhlas kepadanya.

      Goha turut berasa gembira apabila mendapat khabar bahawa penggali kubur itu tidak lagi mengambil upah yang mahal.



Jumaat, 7 Jun 2013

EMMM~Goha dan pintu rumahnya

Salah satu cerita jenaka yang sangat masyhur dalam kalangan masyarakat di segenap pelosok Timur Tengah ialah kisah-kisah tentang Goha.

      Malah, cerita-cerita Goha turut tersebar dan digemari juga di kebanyakan negara lain di dunia ini. Cerita-ceritanya bukan hanya memikat dan mengagumkan golongan kanak-kanak, malahan turut mengasyikkan generasi tua untuk turut mendengarnya.

      Oleh sebab cerita-ceritanya tersebar dan berkembang secara lisan, maka sesetengah ceritanya itu tidak dapat dielakkan daripada mengandungi tokok tambah oleh para penutur atau penceritanya. Namun demikian, cerita-ceritanya sangat diminati ramai.

      Cerita-cerita tentang Goha sebenarnya bukanlah hanya sekadar mengandungi unsur-unsur jenaka, malahan turut mengandungi unsur-unsur kepintaran akal dan teladan budi pekerti.

      Goha adalah seorang yang sangat pintar berjenaka. Semua orang suka berkawan dengannya. Apa tidaknya, sesiapa sahaja yang berada bersama-sama dengannya pasti tidak akan kering gusi. Ada-ada sahaja jenaka yang dibualkan atau dilakukan oleh Goha.

      Kadang-kadang ada orang cuba memperdayakan Goha. Namun, Goha tidaklah mudah untuk diperdayakan oleh sesiapa pun. Dia begitu pintar memperdayakan kembali orang yang cuba menipunya itu.

 Malah, cara dan gaya Goha berpakaian juga begitu melucukan. Badannya gemuk dan suka memakai serban yang besar dan tinggi. Dengan demikian, cara dan gaya dia berpakaian itu sudah tentulah kelihatan sangat melucukan.

      Goha memiliki seekor keldai. Apabila hendak pergi ke mana-mana tempat, dia menunggang keldainya itu. Namun, cara dia menunggang keldainya itu begitu pelik sekali. Tidaklah sama sebagaimana cara orang lain menunggang seseekor keldai, kuda, atau unta.

      Bagaimanakah caranya Goha menunggang keldainya itu?

      Goha menunggang keldainya secara menghadapkan dirinya ke belakang. Keldainya akan terus berjalan ke hadapan sebagaimana biasa. Tetapi Goha pula duduk di atas belakang keldai itu dengan cara menghadapkan dirinya ke sebelah belakang.

      Dengan cara demikian, dia tidak perlu memalingkan mukanya untuk menegur sesiapa yang ditemuinya di pertengahan jalan. Namun, sesiapa pun pasti akan tertawa apabila melihat Goha menunggang keldainya dengan cara sedemikian. Tentulah aneh dan melucukan, bukan?















Meskipun Goha terkenal sebagai seorang yang sangat gemar dan pintar berjenaka, namun dia terkenal juga sebagai seorang yang sangat baik hati. Dia tidak pernah kedekut untuk memberikan sedekah wang dan makanan kepada golongan miskin. Malah, meskipun kesuntukan wang, Goha tetap sanggup memberikan semua wangnya itu untuk menolong golongan fakir miskin.

      Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika Goha sangat dihormati dan disayangi oleh semua orang.

      Tidaklah diketahui, sama ada watak Goha ini pada suatu masa dahulu benar-benar pernah wujud, ataupun hanyalah sekadar merupakan suatu cerita dongeng sahaja. Namun demikian, sesetengah pendapat mengatakan bahawa Goha benar-benar pernah hidup di salah sebuah negeri Arab itu pada suatu masa dahulu.

      Sama ada Goha benar-benar pernah hidup atau tidak di dunia ini, namun semua kisahnya tetap digemari umum. Cerita-ceritanya akan terus dituturkan dan diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi lain pula.

      Salah satu antara cerita Goha yang sangat popular ialah kisah Goha dengan pintu rumahnya.
        
      Bagaimanakah kisahnya?



 Pada suatu hari, isteri Goha dan anak-anaknya ingin pulang ke kampung. Namun, Goha sebenarnya berasa sangat keberatan untuk pergi sama. Dia tidak begitu suka pada bapa dan ibu mentuanya. Hal ini demikian kerana perangai bapa dan ibu mentuanya sangat cerewet.

      Meskipun kehidupan keluarga mentua Goha kaya-raya, namun mereka hanya sekadar makan sekali sahaja dalam sehari, iaitu hanya makan malam. Mereka sangat kedekut dan bimbang harta kekayaan mereka akan habis.

      "Kuruslah badan aku dalam masa satu hari sahaja, kalau hendak tunggu waktu malam baru makan," ujar Goha dalam hatinya.

      Malahan bukan sekadar itu sahaja, mentuanya juga tidak suka kalau ada mana-mana fakir miskin datang meminta sedekah. Mereka akan menghalau fakir miskin itu.

      "Habislah harta aku, kalau tiap-tiap hari hendak sedekahkan kepada kamu semua. Nanti, besok-besok, aku akan jadi pengemis macam kamu juga!" herdik bapa mentuanya kepada fakir miskin. Goha tidak begitu suka akan sikap terlalu kedekut begitu.

      Itulah sebabnya Goha selalu mencari helah, sekiranya isteri dan anak-anak mengajaknya pulang ke rumah mentuanya itu. Selalulah ia memberikan berbagai-bagai dalih. Sakit kepala, sakit belakang, sakit kaki, sakit lutut, sakit telinga, sakit gigi, dan sebagainya lagi.

Kali ini, Goha harus mencari dalih lain lagi. Semasa isteri dan anak-anaknya sedang  berkemas-kemas untuk bertolak pulang, Goha pula mundar-mandir dalam rumahnya. Sekejap ke sana. Sekejap ke sini. Dia masih cuba berfikir.

      "Helah apa pula yang harus kulakukan kali ini?" Goha bertanyakan dirinya sendiri. Dia terus mundar-mandir untuk cuba berfikir. Dia tidak menyedari bahawa kelakuannya itu sedang asyik diperhatikan oleh isteri dan anak-anaknya. Mereka berasa lucu melihat akan kelakuan Goha itu.

      "Mengapa mundar-mandir begitu?" tanya isterinya.
        
      Goha terkejut apabila ditegur oleh isterinya. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia menjawab, "Saya sedang cuba berfikir."

      "Berfikir sebab cuba mencari helah? Tidak mahu pergi lagi?" tanya isterinya lagi dengan nada suara mengherdik.

      "Ya!" terpaksalah Goha menjawab demikian dengan jujur.

      Isteri Goha tertawa kerana dia sudah tahu akan perangai suaminya itu. Demikianlah juga halnya dengan anak-anaknya. Mereka turut tertawa. Mereka tahu, bapa mereka tidak begitu suka pergi ke sana.





   "Tidak mengapalah, kalau begitu!" ujar isterinya.

      Goha berasa lega apabila mendengar jawapan isterinya itu.

      "Nanti saya akan beritahu kepada bapa saya bahawa awak sekarang sedang sibuk," tambah isterinya.

      "Sibuk apa pula?" Goha ingin tahu.

      "Sibuk ambil upah berfikir!" sindir isterinya lagi.

      Goha berasa terpukul apabila mendengar jawapan tersebut. Dia turut berasa lucu mendengar kata-kata itu. Namun, dia berdiam diri sahaja. Tidak mahu menyampuk apa-apa lagi. Dia bimbang, kalau-kalau nanti isterinya akan berubah fikiran pula, memaksanya turut pulang bersama-sama mereka.

      Sebelum isteri dan anak-anaknya pergi, Goha mendengar isterinya berpesan.

      "Jangan pergi ke mana-mana. Tunggu sehingga saya pulang. Sekarang ini, saya dengar, selalu berlaku kecurian di sana sini. Kalau hendak keluar juga, pastikan semua pintu dan tingkap dikunci," demikian pesan isterinya.



Sudah dua hari isteri dan anak-anaknya pergi. Goha tidak pergi ke mana-mana. Tidak keluar langsung daripada rumahnya itu. Gelisah hatinya kerana berasa jemu. Asyik makan dan tidur bangun sahaja pun sangat menjemukan.

      Goha terfikir hendak pergi ke rumah salah seorang sahabat baiknya. "Nanti waktu malam, aku akan pergi ke sana. Boleh berbual-bual. Hilanglah rasa jemu," fikir Goha.

      Apabila malam tiba, Goha hendak pergi ke rumah sahabatnya itu. Namun, sebelum keluar daripada rumah, dia teringat akan pesanan isterinya itu. "Pastikan semua tingkap dan pintu dikunci," terngiang-ngiang kata-kata isterinya itu dalam kedua-dua belah telinganya.

      Goha memang takut akan isterinya itu. Isterinya kadang-kadang agak garang. Jikalau ada sesuatu yang tidak kena dilakukannya, pasti dia akan dileteri. Oleh itu, Goha berasa teragak-agak pula untuk pergi ke rumah sahabatnya.

      "Kalau pencuri masuk, semasa aku tiada di rumah, nahaslah aku dimarahi oleh isteriku yang gemuk-gedempol itu," kata Goha dalam hatinya.

      Goha bimbang, kalau-kalau pencuri akan memasuki rumahnya. Namun, dia berasa sedih kerana jemu dan sunyi keseorangan. Oleh yang demikian, Goha bertekad untuk pergi juga. Dia tetap mahu pergi ke rumah sahabatnya itu.


Oleh yang demikian, dia cuba berfikir sesuatu.

      Akhirnya, Goha pergi juga ke rumah sahabatnya itu. Sampai sahaja di halaman rumah sahabatnya, dia memberikan salam. Salam itu dijawab.

      "Siapa?" sahabatnya bertanya dari dalam rumah.

      "Aku! Goha!"

      Sahabatnya lalu membuka pintu.

      "Oh, sahabatku, Goha!" kata sahabatnya dengan perasaan sangat gembira. Sudah lama mereka tidak berjumpa.

      Namun demikian, pada saat itu juga, sahabatnya sangat terkejut. Dia melihat keldai yang dibawa oleh Goha itu sedang memikul suatu benda yang sangat besar. Kasihan keldai itu kerana terpaksa memikul suatu benda yang berat.

      "Benda apakah yang kaubawa itu, Goha?" sahabatnya berasa hairan.

      Goha tertawa kecil. Tidak terus menjawab pertanyaan itu.


  "Benda apa?" sahabatnya bertanya lagi.

      "Itu ialah pintu rumahku!" jawab Goha.

      "Hah?" sahabatnya sangat terkejut apabila mendengar jawapan tersebut. Dia berasa sangat hairan kerana Goha membawa pintu rumahnya.

      "Tetapi mengapakah pula engkau membawanya ke mari?" sahabatnya masih berasa hairan.

      Goha lalu memberitahunya, "Sekarang ini banyak berlaku kecurian di sana sini. Aku tidak mahu pencuri masuk ke dalam rumahku. Itulah sebabnya kucabut pintu rumahku dan membawanya ke mari."

      Tercenganglah sahabatnya mendengar jawapan Goha. Ternganga mulutnya memikirkan perbuatan Goha itu.

      "Kalau hendak masuk ke dalam rumah seseorang, kita harus masuk melalui pintu. Tetapi sekarang rumahku sudah tidak ada pintu lagi, sebab sudah kubawa ke mari. Senang hati. Tidak payah memikirkan soal pencuri itu lagi. Kalau pencuri datang sekalipun, tentulah tidak dapat masuk. Bagaimana hendak masuk? Pintu sudah tidak ada lagi," ujar Goha dengan panjang lebar.





 Terdiamlah sahabat Goha setelah mendengar kata-kata itu.

      Dia berasa sangat lucu apabila memikirkan perbuatan Goha itu. Kalau pintu rumah sudah dicabut, memanglah rumah itu sudah tidak berpintu lagi. Namun, semakin mudahlah untuk dimasuki kerana sudah tidak ada pintu. Sama sahaja seperti lubang gua yang ternganga.

      Sahabat Goha itu tertawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Perbuatan Goha memang sangat luar biasa dan sungguh melucukan. Namun demikian, dia tidak berani sama sekali untuk menegur perbuatan Goha itu.

      Dia tahu, Goha bukanlah seorang yang bodoh. Goha sebenarnya seorang yang tersangat pintar berjenaka. Akalnya tinggi dan fikirannya tajam. Itulah sebabnya, di mana-mana sahaja, dia selalu gemar melakukan jenaka yang ganjil dan luar biasa. Jenakanya itu dapat menjadikan seseorang cuba berfikir dengan lebih mendalam.

      "Betul juga kata-kata Goha! Kalau hendak masuk ke dalam rumah, tentulah harus masuk melalui pintu," fikir sahabatnya itu dalam hati.

      Tanpa berlengah lagi, dia terus mengajak Goha masuk ke dalam rumahnya, "Jemputlah masuk! Rumahku ini ada pintu. Kita boleh masuk melalui pintu."



  Goha tertawa sambil berkata, "Oh, jangan bimbang! Rumah engkau tidak akan rosak. Aku akan masuk melalui pintu. Bukan melalui tingkap."

      Namun, sambil berjalan masuk itu, Goha masih sempat berkata, "Alangkah baiknya, jikalau rumah engkau ini tidak berpintu. Dengan demikian, rumah engkau akan tetap terbuka siang dan malam. Rumah yang terbuka lebih mudah dikunjungi orang. Malah, menandakan tuan rumahnya adalah seorang yang sangat baik hati kerana sentiasa bersedia untuk menerima kehadiran tetamu."

      Sahabatnya hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda memahami dan bersetuju dengan nasihat Goha itu.





EMMM~Bukan dosamu Mashitah

 "Mama, kenapa Mashitah sakit?" tanya Zaza kepada mamanya Mashitah, kawannya itu dikesan mempunyai HIV positif. Dia dilahirkan membawa virus itu. Setelah dikesan, dia sentiasa mendapat pengawasan pihak hospital. Pelbagai sesi rawatan diterimanya.

      Zaza sebaya dengan Mashitah. Dia dan Mashitah berjiran. Mama Zaza dan ibu Mashitah kawan karib. Sejak kecil Zaza dan Mashitah  berkawan rapat. Hanya Zazalah kawan yang Mashitah ada. Orang lain takut untuk menghampirinya. Di sekolah, dia benar-benar sendirian kerana Zaza berada di kelas 4 Anggun, manakala Mashitah di kelas 4 Canggih.

      Hanya apabila waktu rehat, Zaza akan berlari ke kelas Mashitah untuk menjemputnya ke pondok rehat di sekolah dan berkongsi makanan yang dibawa daripada rumah. Kadang-kadang mereka makan sandwic atau nasi lemak. Kadangkala mi atau bihun goreng.

      "Eee, budak Aids!" ada seorang pelajar di sekolah mengacau.

      "Jahatlah engkau ini!" sergah Zaza melindungi Mashitah.Mashitah sudah biasa digangu sedemikian. Dia sudah dipinggirkan sejak dilahirkan. Ketika hendak mendaftar sekolah tahun satu dahulu pun kecoh. Pihak sekolah dan PIBG terpaksa bermesyuarat untuk menerima Mashitah. Mujurlah ayah Zaza seorang AJK PIBG.

 "Dosa apa anak ini sehingga kita mengangapnya seorang penjenayah yang perlu diasingkan daripada masyarakat?" terang Encik Farid, ayah Zaza itu, penuh dengan emosi. Dia amat disegani oleh masyarakat di taman perumahan itu. Lagipun, benar kata Encik Farid, pembawa HIV bukannya pembawa malapetaka. Mereka mewarisi kesilapan orang tua mereka.

      Namun kini, terlantar Mashitah lemah di Hospital Universiti. Segala-galanya lesu. Ibu Mashitah turut dirawat kerana mereka berdua pembawa HIV positif. Puan Maslinda dan Zaza  berada di sebelah katil ibu Mashitah.

      "Linda, mungkin sudah sampai masa kami berdua untuk pergi..." keluh ibu Masshitah. Matanya cengkung dan kelopaknya digenangi air mata berkaca. Sambungnya lagi, "Kalau aku pergi dahulu, tolong tengok-tengok Mashitah, ya..." Dia menangis teresak-esak.

      "Janganlah berkata begitu, Teh..." Puan Maslinda memeluk Zaza kerana terasa sebak dadanya  melihat keadaan ibu Mashitah dan anaknya yang amat tidak berdaya itu.

      "Semuanya akan ditentukan Allah, Teh." ucap Puan Maslinda seperti berdoa.

      "Mama,Mashitah akan matikah?" terisak-isak Zaza bertanya mamanya.



"Sabarlah, sayang... kita hanya berdoa kepada Allah sahaja," Puan Maslinda memeluk Zaza di tepi katil Fahmi yang kaku membisu. Ombak-ombak kecil di dadanya kelihatan masih berjuang. Nafas-nafas lesu itu dibantu alat pernafasan.

      "Mi,..." kata Puan Maslinda setelah melihat Fahmi membuka mata. Fahmi tersenyum kerana dua wajah ini sahajalah yang selalu berada dalam hidupnya. Zaza seperti kembarnya. Zaza melebihi dirinya. Dia menyayangi Zaza seperti menyayangi dirinya sendiri. Selama sepuluh tahun hidupnya, dia hanya bercakap dengan Zaza dan Anti Maslinda.

      Sejak kematian ayahnya kerana penyakit itu, dia mempunyai wang. Ayahnya doktor yang dijangkiti HIV semasa merawat pesakitnya dan meninggal tanpa menyedari dia dijangkiti penyakit itu. Insurans ayahnya banyak. Namun, dia tidak dapat membeli kebahagiaan dengan wang ringgit.

      "Zaza, apa khabar?" bisik Fahmi dengan dipaksa-paksa. Zaza menganguk-nganguk mengisyaratkan bahawa dia sihat walafiat. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Sepatutnya dia yang bertanya begitu kepada Fahmi. Orang lain tidak mengenali Fahmi. Orang lain tidak pernah mengambil kesempatan  mengenali Fahmi.
     
Fahmi menghulurkan sekeping nota kepada Zaza. Zaza membuka nota itu.



 "Zaza, aku ingin sekali berjumpa Menteri Pelajaran dan ingin bertanya apakah aku berdosa membawa penyakit ini?"

     Berdetup Zaza membacanya. Dia menghulurkan kepada Puan Maslinda.Mashitah menutup matanya  kembali. Zaza memegang erat tangan Mashitah . Puan Maslinda memeluk Zaza. Entah kenapa Zaza sudah menjadi gagah dan yakin untuk hidup. Mereka berjalan keluar hospital, terus ke kereta.

      "Apa yang Zaza fikirkan tu?" tanya mama  melihat Zaza yang asyik memandang jauh.

      Akhirnya Zaza pun berkata, "Ma, Zaza hendak bercakap  dengan papa agar Menteri Pelajaran datang melawat Mas." berkata Zaza penuh dengan tekad. Dia akan berbuat apa sahaja kali ini untuk memenuhi permintaan Fahmi.

     Mashiath bukan meminta wang berjuta. Dia bukan meminta minta istana emas. Dia hanya ingin berjumpa Menteri Pelajaran.

      "Apa kata, Zaza sendiri e-mel kepada Menteri Pelajaran tentang hal ini, ok?" cadang Puan Maslinda.

      Kereta mereka memasuki perkarangan rumah. Encik Farid baru pulang dari pejabatnya. Setelah mendengar cerita Zaza anak tunggal kesayangannya, dia bersetuju memberi alamat e-mel Menteri Pelajaran.

      Malam itu, Zaza menghadapi komputer dan menulis surat panjang lebar kepada Menteri Pelajaran mengenai kawannya, Mashitah. Dia menulis juga nota Fahmi yang berhasrat berjumpa Menteri. Dia pun turut merayu memohon agar Dato Menteri melapangkan masa melawat rakannya, mungkin sebagai satu permintaan terakhir.




  Esoknya, hospital menghubungi Puan Maslinda menceritakan kedua-dua beranak itu tenat.

      Kebetulan hari itu hari minggu. Mereka sekeluarga bergegas. Setelah dirapati katil kedua-dua beranak itu, mereka berdua sedang berjuang hebat untuk hidup, namun begitulah, badan mereka sudah terlalu lemah.

      Zaza menangis tanpa mempedulikan sesiapa lagi. Tiba-tiba bahunya disentuh. Dia menoleh dan melihat wajah itu. Menteri Pelajaran sendiri!

      "Sabarlah, saya sudah membaca e-mel awak."

      "Datuk.. Tuan, Bapa Menteri..." Zaza gugup, namun berasa amat besar hati. Tidak dapat dikatakan apa-apa lagi. Semua yang berada di sebelah katil Puan Teh dan Mashitah terkejut  dengan kehadiran Menteri Pelajaran. Sungguh besar jiwa menteri ini, sanggup datang secara peribadi ke tepi katil dua orang insan yang bergelut dengan mati.

      Dato' Seri Menteri Pelajaran merapati katil Mashitah. Dia mengusap-ngusap rambut Mashitah .Mashitah membuka mata dan memegang tangan Menteri sambil menunjuk jari telunjuk ke muka Menteri. Dato Seri pun  berkata , "Bukan dosamu," bisikan itu membuat Mashiitah tersenyum dan memejamkan matanya. Radio di katil berbunyi "Biiiip" memanjang.

      Selamat jalan, Mashitah. Berkata Zaza dalam hati. Innalillahi wa innaa ilaihi raajiun.

   BUKAN DOSAMU MASHITAH