Jumaat, 7 Jun 2013

EMMM~Goha dan pintu rumahnya

Salah satu cerita jenaka yang sangat masyhur dalam kalangan masyarakat di segenap pelosok Timur Tengah ialah kisah-kisah tentang Goha.

      Malah, cerita-cerita Goha turut tersebar dan digemari juga di kebanyakan negara lain di dunia ini. Cerita-ceritanya bukan hanya memikat dan mengagumkan golongan kanak-kanak, malahan turut mengasyikkan generasi tua untuk turut mendengarnya.

      Oleh sebab cerita-ceritanya tersebar dan berkembang secara lisan, maka sesetengah ceritanya itu tidak dapat dielakkan daripada mengandungi tokok tambah oleh para penutur atau penceritanya. Namun demikian, cerita-ceritanya sangat diminati ramai.

      Cerita-cerita tentang Goha sebenarnya bukanlah hanya sekadar mengandungi unsur-unsur jenaka, malahan turut mengandungi unsur-unsur kepintaran akal dan teladan budi pekerti.

      Goha adalah seorang yang sangat pintar berjenaka. Semua orang suka berkawan dengannya. Apa tidaknya, sesiapa sahaja yang berada bersama-sama dengannya pasti tidak akan kering gusi. Ada-ada sahaja jenaka yang dibualkan atau dilakukan oleh Goha.

      Kadang-kadang ada orang cuba memperdayakan Goha. Namun, Goha tidaklah mudah untuk diperdayakan oleh sesiapa pun. Dia begitu pintar memperdayakan kembali orang yang cuba menipunya itu.

 Malah, cara dan gaya Goha berpakaian juga begitu melucukan. Badannya gemuk dan suka memakai serban yang besar dan tinggi. Dengan demikian, cara dan gaya dia berpakaian itu sudah tentulah kelihatan sangat melucukan.

      Goha memiliki seekor keldai. Apabila hendak pergi ke mana-mana tempat, dia menunggang keldainya itu. Namun, cara dia menunggang keldainya itu begitu pelik sekali. Tidaklah sama sebagaimana cara orang lain menunggang seseekor keldai, kuda, atau unta.

      Bagaimanakah caranya Goha menunggang keldainya itu?

      Goha menunggang keldainya secara menghadapkan dirinya ke belakang. Keldainya akan terus berjalan ke hadapan sebagaimana biasa. Tetapi Goha pula duduk di atas belakang keldai itu dengan cara menghadapkan dirinya ke sebelah belakang.

      Dengan cara demikian, dia tidak perlu memalingkan mukanya untuk menegur sesiapa yang ditemuinya di pertengahan jalan. Namun, sesiapa pun pasti akan tertawa apabila melihat Goha menunggang keldainya dengan cara sedemikian. Tentulah aneh dan melucukan, bukan?















Meskipun Goha terkenal sebagai seorang yang sangat gemar dan pintar berjenaka, namun dia terkenal juga sebagai seorang yang sangat baik hati. Dia tidak pernah kedekut untuk memberikan sedekah wang dan makanan kepada golongan miskin. Malah, meskipun kesuntukan wang, Goha tetap sanggup memberikan semua wangnya itu untuk menolong golongan fakir miskin.

      Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika Goha sangat dihormati dan disayangi oleh semua orang.

      Tidaklah diketahui, sama ada watak Goha ini pada suatu masa dahulu benar-benar pernah wujud, ataupun hanyalah sekadar merupakan suatu cerita dongeng sahaja. Namun demikian, sesetengah pendapat mengatakan bahawa Goha benar-benar pernah hidup di salah sebuah negeri Arab itu pada suatu masa dahulu.

      Sama ada Goha benar-benar pernah hidup atau tidak di dunia ini, namun semua kisahnya tetap digemari umum. Cerita-ceritanya akan terus dituturkan dan diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi lain pula.

      Salah satu antara cerita Goha yang sangat popular ialah kisah Goha dengan pintu rumahnya.
        
      Bagaimanakah kisahnya?



 Pada suatu hari, isteri Goha dan anak-anaknya ingin pulang ke kampung. Namun, Goha sebenarnya berasa sangat keberatan untuk pergi sama. Dia tidak begitu suka pada bapa dan ibu mentuanya. Hal ini demikian kerana perangai bapa dan ibu mentuanya sangat cerewet.

      Meskipun kehidupan keluarga mentua Goha kaya-raya, namun mereka hanya sekadar makan sekali sahaja dalam sehari, iaitu hanya makan malam. Mereka sangat kedekut dan bimbang harta kekayaan mereka akan habis.

      "Kuruslah badan aku dalam masa satu hari sahaja, kalau hendak tunggu waktu malam baru makan," ujar Goha dalam hatinya.

      Malahan bukan sekadar itu sahaja, mentuanya juga tidak suka kalau ada mana-mana fakir miskin datang meminta sedekah. Mereka akan menghalau fakir miskin itu.

      "Habislah harta aku, kalau tiap-tiap hari hendak sedekahkan kepada kamu semua. Nanti, besok-besok, aku akan jadi pengemis macam kamu juga!" herdik bapa mentuanya kepada fakir miskin. Goha tidak begitu suka akan sikap terlalu kedekut begitu.

      Itulah sebabnya Goha selalu mencari helah, sekiranya isteri dan anak-anak mengajaknya pulang ke rumah mentuanya itu. Selalulah ia memberikan berbagai-bagai dalih. Sakit kepala, sakit belakang, sakit kaki, sakit lutut, sakit telinga, sakit gigi, dan sebagainya lagi.

Kali ini, Goha harus mencari dalih lain lagi. Semasa isteri dan anak-anaknya sedang  berkemas-kemas untuk bertolak pulang, Goha pula mundar-mandir dalam rumahnya. Sekejap ke sana. Sekejap ke sini. Dia masih cuba berfikir.

      "Helah apa pula yang harus kulakukan kali ini?" Goha bertanyakan dirinya sendiri. Dia terus mundar-mandir untuk cuba berfikir. Dia tidak menyedari bahawa kelakuannya itu sedang asyik diperhatikan oleh isteri dan anak-anaknya. Mereka berasa lucu melihat akan kelakuan Goha itu.

      "Mengapa mundar-mandir begitu?" tanya isterinya.
        
      Goha terkejut apabila ditegur oleh isterinya. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia menjawab, "Saya sedang cuba berfikir."

      "Berfikir sebab cuba mencari helah? Tidak mahu pergi lagi?" tanya isterinya lagi dengan nada suara mengherdik.

      "Ya!" terpaksalah Goha menjawab demikian dengan jujur.

      Isteri Goha tertawa kerana dia sudah tahu akan perangai suaminya itu. Demikianlah juga halnya dengan anak-anaknya. Mereka turut tertawa. Mereka tahu, bapa mereka tidak begitu suka pergi ke sana.





   "Tidak mengapalah, kalau begitu!" ujar isterinya.

      Goha berasa lega apabila mendengar jawapan isterinya itu.

      "Nanti saya akan beritahu kepada bapa saya bahawa awak sekarang sedang sibuk," tambah isterinya.

      "Sibuk apa pula?" Goha ingin tahu.

      "Sibuk ambil upah berfikir!" sindir isterinya lagi.

      Goha berasa terpukul apabila mendengar jawapan tersebut. Dia turut berasa lucu mendengar kata-kata itu. Namun, dia berdiam diri sahaja. Tidak mahu menyampuk apa-apa lagi. Dia bimbang, kalau-kalau nanti isterinya akan berubah fikiran pula, memaksanya turut pulang bersama-sama mereka.

      Sebelum isteri dan anak-anaknya pergi, Goha mendengar isterinya berpesan.

      "Jangan pergi ke mana-mana. Tunggu sehingga saya pulang. Sekarang ini, saya dengar, selalu berlaku kecurian di sana sini. Kalau hendak keluar juga, pastikan semua pintu dan tingkap dikunci," demikian pesan isterinya.



Sudah dua hari isteri dan anak-anaknya pergi. Goha tidak pergi ke mana-mana. Tidak keluar langsung daripada rumahnya itu. Gelisah hatinya kerana berasa jemu. Asyik makan dan tidur bangun sahaja pun sangat menjemukan.

      Goha terfikir hendak pergi ke rumah salah seorang sahabat baiknya. "Nanti waktu malam, aku akan pergi ke sana. Boleh berbual-bual. Hilanglah rasa jemu," fikir Goha.

      Apabila malam tiba, Goha hendak pergi ke rumah sahabatnya itu. Namun, sebelum keluar daripada rumah, dia teringat akan pesanan isterinya itu. "Pastikan semua tingkap dan pintu dikunci," terngiang-ngiang kata-kata isterinya itu dalam kedua-dua belah telinganya.

      Goha memang takut akan isterinya itu. Isterinya kadang-kadang agak garang. Jikalau ada sesuatu yang tidak kena dilakukannya, pasti dia akan dileteri. Oleh itu, Goha berasa teragak-agak pula untuk pergi ke rumah sahabatnya.

      "Kalau pencuri masuk, semasa aku tiada di rumah, nahaslah aku dimarahi oleh isteriku yang gemuk-gedempol itu," kata Goha dalam hatinya.

      Goha bimbang, kalau-kalau pencuri akan memasuki rumahnya. Namun, dia berasa sedih kerana jemu dan sunyi keseorangan. Oleh yang demikian, Goha bertekad untuk pergi juga. Dia tetap mahu pergi ke rumah sahabatnya itu.


Oleh yang demikian, dia cuba berfikir sesuatu.

      Akhirnya, Goha pergi juga ke rumah sahabatnya itu. Sampai sahaja di halaman rumah sahabatnya, dia memberikan salam. Salam itu dijawab.

      "Siapa?" sahabatnya bertanya dari dalam rumah.

      "Aku! Goha!"

      Sahabatnya lalu membuka pintu.

      "Oh, sahabatku, Goha!" kata sahabatnya dengan perasaan sangat gembira. Sudah lama mereka tidak berjumpa.

      Namun demikian, pada saat itu juga, sahabatnya sangat terkejut. Dia melihat keldai yang dibawa oleh Goha itu sedang memikul suatu benda yang sangat besar. Kasihan keldai itu kerana terpaksa memikul suatu benda yang berat.

      "Benda apakah yang kaubawa itu, Goha?" sahabatnya berasa hairan.

      Goha tertawa kecil. Tidak terus menjawab pertanyaan itu.


  "Benda apa?" sahabatnya bertanya lagi.

      "Itu ialah pintu rumahku!" jawab Goha.

      "Hah?" sahabatnya sangat terkejut apabila mendengar jawapan tersebut. Dia berasa sangat hairan kerana Goha membawa pintu rumahnya.

      "Tetapi mengapakah pula engkau membawanya ke mari?" sahabatnya masih berasa hairan.

      Goha lalu memberitahunya, "Sekarang ini banyak berlaku kecurian di sana sini. Aku tidak mahu pencuri masuk ke dalam rumahku. Itulah sebabnya kucabut pintu rumahku dan membawanya ke mari."

      Tercenganglah sahabatnya mendengar jawapan Goha. Ternganga mulutnya memikirkan perbuatan Goha itu.

      "Kalau hendak masuk ke dalam rumah seseorang, kita harus masuk melalui pintu. Tetapi sekarang rumahku sudah tidak ada pintu lagi, sebab sudah kubawa ke mari. Senang hati. Tidak payah memikirkan soal pencuri itu lagi. Kalau pencuri datang sekalipun, tentulah tidak dapat masuk. Bagaimana hendak masuk? Pintu sudah tidak ada lagi," ujar Goha dengan panjang lebar.





 Terdiamlah sahabat Goha setelah mendengar kata-kata itu.

      Dia berasa sangat lucu apabila memikirkan perbuatan Goha itu. Kalau pintu rumah sudah dicabut, memanglah rumah itu sudah tidak berpintu lagi. Namun, semakin mudahlah untuk dimasuki kerana sudah tidak ada pintu. Sama sahaja seperti lubang gua yang ternganga.

      Sahabat Goha itu tertawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Perbuatan Goha memang sangat luar biasa dan sungguh melucukan. Namun demikian, dia tidak berani sama sekali untuk menegur perbuatan Goha itu.

      Dia tahu, Goha bukanlah seorang yang bodoh. Goha sebenarnya seorang yang tersangat pintar berjenaka. Akalnya tinggi dan fikirannya tajam. Itulah sebabnya, di mana-mana sahaja, dia selalu gemar melakukan jenaka yang ganjil dan luar biasa. Jenakanya itu dapat menjadikan seseorang cuba berfikir dengan lebih mendalam.

      "Betul juga kata-kata Goha! Kalau hendak masuk ke dalam rumah, tentulah harus masuk melalui pintu," fikir sahabatnya itu dalam hati.

      Tanpa berlengah lagi, dia terus mengajak Goha masuk ke dalam rumahnya, "Jemputlah masuk! Rumahku ini ada pintu. Kita boleh masuk melalui pintu."



  Goha tertawa sambil berkata, "Oh, jangan bimbang! Rumah engkau tidak akan rosak. Aku akan masuk melalui pintu. Bukan melalui tingkap."

      Namun, sambil berjalan masuk itu, Goha masih sempat berkata, "Alangkah baiknya, jikalau rumah engkau ini tidak berpintu. Dengan demikian, rumah engkau akan tetap terbuka siang dan malam. Rumah yang terbuka lebih mudah dikunjungi orang. Malah, menandakan tuan rumahnya adalah seorang yang sangat baik hati kerana sentiasa bersedia untuk menerima kehadiran tetamu."

      Sahabatnya hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda memahami dan bersetuju dengan nasihat Goha itu.





0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama