Jumaat, 7 Jun 2013

EMMM~ aapabila buah-buahan bergaduh

Pada zaman dahulu, pokok buah-buahan tidak mempunyai jadual untuk berbuah. Pokok-pokok ini berbuah ikut rasa masing-masing.

      Oleh sebab itu, selalu berlaku pertembungan. Akibatnya, buah-buahan yang kurang lazat tidak dimakan oleh manusia.

      Kadang-kadang buah rambai berbuah, pokok durian juga berbuah. Apabila mereka berbuah serentak, buah rambai langsung tidak dipedulikan oleh manusia. Mereka asyik makan buah durian sahaja. Buah durian sedap dimakan. Manakala rambai kurang enak. Oleh sebab itu, buah rambai jarang dimakan orang. Akhirnya, buah rambai yang masak ranum gugur begitu sahaja.

      Buah rambai amat marah apabila durian berbuah sama musim dengannya.

      "Kenapa kamu ikut aku berbuah? tengok, apa sudah jadi? buah aku tidak dimakan oleh manusia. Mentang-mentang kamu diminati," kata rambai.

      "Aku mana tahu kamu nak berbuah. Kenapa kamu tak bagi tahu. Kalau kamu bagi tahu aku boleh berbuah lewat sedikit atau awal dari kamu," jawab durian.
 Pada suatu masa lain, pergaduhan besar telah berlaku di antara puak durian dengan puak rambai kerana berebut musim berbuah.

       Satu peperangan telah berlaku. Banyak puak rambai terkorban akibat ditikam oleh durian. Buah rambai melawan dengan berani walaupun mereka tahu, puaknya tidak bersenjata.

      Puak rambutan juga ikut serta. Mereka menyebelahi puak rambai dan menyerang durian. Puak manggis juga tidak berdiam diri. Puak manggis marah akan durian kerana durian angkuh dan sombong.

      Akhir sekali, pergaduhan besar berlaku. Semua buah berperang. Buah nangka, buah cempedak, buah kelapa, buah salak, buah betik, buah kelubi, buah mangga, dan berbagai-bagai jenis buah lagi campur tangan.

      Akhirnya, pergaduhan itu terhenti apabila buah durian mengaku kalah. Buah durian tidak berdaya lagi melawan kerana semua buah bersatu menyerangnya.

      Buah durian boleh melawan, jika hanya dengan buah rambutan dan rambai. Tetapi apabila buah kelapa campur tangan, buah durian mengaku kalah.

 Buah durian tidak berdaya lagi menikam buah kelapa kerana durinya habis tumpul. Kelapa yang bersabut sukar dikalahkan.

      Pada suatu hari, buah-buahan itu mengadakan mesyuarat untuk mengambil giliran berbuah. Semua buah datang berhimpun di tempat mesyuarat.

      Mula-mula, buah-buah itu memilih pengerusi mesyuarat. Cempedak mencadangkan supaya kelapa menjadi pengerusinya. Buah rambutan menyokong. Buah-buah lain bersetuju sebulat suara.

      Selain itu, mereka harus memilih setiausaha juga. Buah salak mencadangkan supaya betik dipilih.

      Setelah dipilih sebagai pengerusi mesyuarat, buah kelapa pun mengambil tempat. Buah kelapa mengucapkan terima kasih kerana majlis memilihnya sebagai pengerusi mesyuarat.

      "Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas kepercayaan saudara semua memilih saya sebagai pengerusi mesyuarat. Ini satu penghargaan terbesar kepada saya. Ini juga satu tanggungjawab," buah kelapa memulakan ucapannya sebelum meneruskan mesyuarat.

 "Saya akan menjalankan tugas saya sebaik-baiknya. Saya harap selepas mesyuarat ini, masyarakat buah-buahan tidak akan bergaduh lagi," tambahnya.

      Perbincangan pertama mesyuarat hari itu diteruskan. Mula-mula, mereka akan menetapkan musim berbuah bagi setiap pokok supaya tidak berlaku lagi pertindihan musim.

      Pada awalnya, semua pokok hendak berbual awal. Mesyuarat hangat seketika apabila masing-masing pokok hendak berbuah awal.

      "Saya sepatutnya berbuah awal kerana saya tidak sedap. Durian bila-bila masa boleh berbuah kerana isinya lazat," kata rambai memberi alasan.

      "Tuan pengerusi mesyuarat. Saya bukan membantah keputusan mesyuarat. Tetapi masa yang diberikan kepada saya tidak sesuai. Musim banjir. Musim ini semua manusia kalut dan masing-masing asyik mencari perlidungan banjir. Jadi kalau saya berbuah pun, tiada siapa akan pedulikan saya. Tiada siapa akan mengutip saya kerana apabila buah saya gugur, terus dihanyutkan air lalu ke laut," jelas durian.

      Alasan durian memang memang munasabah. Jadi, semua buah mesti elakkan diri daripada berbuah pada musim banjir. Mereka boleh berbuah, kecuali bulan pada Januari hingga Oktober sahaja.
  "Oleh sebab keputusan muktamad sukar diambil, bagaimana kalau kita serahkan saja jadual berbuah kepada pengerusi mesyuarat?" cadang buah mangga.

      "Setuju, setuju!" sokong buah duku yang sejak tadi berdiam diri.

      Akhirnya, buah kelapa membuat keputusan. Jadual musim dibacakan kepada semua buahan. Setelah jadual itu dibaca, semua buah bersetuju.

      Apabila musim berbuah menjelang, rambutan dibenarkan berbuah dulu. Diikuti oleh buah manggis, langsat, dan duku.

      Apabila musim itu hampir habis, buah durian bolehlah mengambil giliran untuk memasakkan buahnya. Buah-buahan ini boleh berbunga serentak tetapi terpaksa menunggu giliran untuk masak.

      Buah-buah asam seperti limau, mangga, asam jawa, binjai, kuinin, macang, dan salak bebas berbuah pada bila-bila masa kerana mereka tidak menjadi saingan.

      "Kita asyik menerima jadual kita berbuah. Tetapi kita telah membelakangkan pengerusi mesyuarat dan setiausaha. Tuan-tuan berdua pula bagaimana?" tiba-tiba buah langsat bertanya.

  "Saya sebagai  pengerusi mesyuarat dan betik sebagai setiausaha juga tidak menjadi saingan. Oleh sebab itu, bagaimana kalau saya meminta izin majlis untuk saya berbuah sepanjang masa?" ujar buah kelapa.

      "Setuju! Setuju! Tetapi bagaimana pula dengan saya? Belum ada jadual," kata rambai. Memang rambai belum menerima jadual berbuah.

      "Ya, buah rambai belum menerima jadual! Bagaimana kalau kita bebaskan rambai memilih musim?" tanya kelapa.

      "Saya setuju. Saya insaf bahawa saya tidak sedap. Saya tidak begitu diperlukan oleh manusia. Bagaimana kalau saya berbuah pada bulan Ogos atau September, iaitu apabila buah-buah lain habis musimnya?"

      Majlis bersetuju dengan permohonan rambai. Oleh sebab itulah rambai berbuah pada akhir musim, iaitu sayup musim. Dengan jadual itu, rambai yang dulunya tidak laku, sekarang sudah dapat menaikkan harganya.

      Buah rambai dulunya tidak digemari kerana berbuah serentak dengan durian. Buah rambai biasanya akan masak dan gugur begitu sahaja di bawah pokok.
 Setelah perubahan jadual berlaku, buah rambai sekarang bernilai tinggi. Harganya hingga RM2 satu kilo.

      "Ada lagi hal-hal lain?" tanya buah kelapa sebelum menangguhkan mesyuarat.

      Buah kelapa kemudiannya bertanya satu demi satu untuk menentukan semua buah-buahan bercakap.

      Durian, rambutan, manggis, duku, langsat, mangga, limau, gelugor, kandis, binjai, salak, kelubi, pisang, cempedak, durian belanda, kecupu, dan beberapa jenis buah lain lagi sudah berpuas hati. Mereka hanya menggeleng-geleng kepala apabila ditanya.

      Tiba-tiba mencelah buah mangga.

      "Saya ini, orang Kelantan panggil pauh ringan. Sejenis mangga juga. Biasanya, saya dijadikan sambal atau dimakan dengan colek. Saya selalunya tumbuh di tepi rumah. Oleh yang demikian, bagaimana dengan jadual saya?"

      "Oh, sebenarnya tuan ketinggalan! Semua jenis pokok asam bebas berbuah pada bila-bila masa," jawab kelapa.
   



"Terima kasih! Satu soalan lagi. Bagaimana dengan buah-buahan import seperti epal, anggur, lai atau buah mata kucing? Mereka mungkin mengganggu jadual kita," tanya pauh ringan.

      "Itu masalah luar negeri. Kita tidak dapat menentukan jadual mereka. Tetapi saya fikir, mereka tidak boleh menjadi saingan," jawab kelapa.

      "Pertama, buah-buahan import tidak boleh melawan kelazatan kita. Kedua, buah-buahan import mahal. Ketiga, mereka tidak mempunyai banyak khasiat," tambah kelapa.

      Semua buah bersetuju dengan pandangan buah kelapa. Mereka juga mengucap terima kasih kepada pauh ringan kerana menimbulkan perkara itu.

      "Baiklah! Kalau tidak ada apa-apa, kita tangguhkan dulu mesyuarat ini kepada suatu masa yang akan ditetapkan nanti." ujar buah kelapa. Sebelum berpisah mereka membaca doa. Selepas itu, majlis bersurai.

      Mesyuarat buah-buahan itupun berakhir. Selepas mesyuarat itu, buah-buahan itu tidak pernah bermesyuarat lagi. Kononnya, ketetapan yang diambil dalam mesyuarat tersebut masih dipakai hingga sekarang.
 Tidak timbul apa masalah. Dan keputusan mesyuarat itu mungkin akan dipakai sehingga hari kiamat.

      Begitulah bijaknya buah-buahan. Tidak perlu banyak kali mesyuarat untuk menentukan yang terbaik. Tidak seperti manusia, walaupun sesuatu keputusan diambil dalam mesyuarat, tetapi masih berbunyi selepas mesyuarat.

      Tetapi mesyuarat amat berguna untuk mencari kata sepakat yang terbaik. Oleh itu kalau anda menjadi ahli sesuatu kelab atau sesuatu persatuan, anda harus menghadiri mesyuarat untuk menyatakan sesuatu yang anda tidak puas hati.

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama