Jumaat, 7 Jun 2013

EMMM~Esok tetap ada sinar

 "Alif tempang! Alif tempang!"

      Kedengaran riuh-rendah suara kanak-kanak sedang mengejek seorang budak lelaki yang sedang berjalan terhincut-hincut di tepi jalan.

      Alif hanya mampu tersenyum. Dia sudah lali dengan ejekan dan cacian yang dilemparkan kepadanya. Suatu ketika dahulu, dia pernah bergaduh dengan beberapa orang budak nakal yang mengejeknya. Namun, kini itu semua sudah menjadi kebiasaan bagi dirinya.

      Alif sedar dia cacat. Kakinya tempang semenjak dia masih kecil lagi. Menurut ibunya, kecacatan itu terjadi kerana dia menghidap demam panas. Walaupun begitu, Alif tetap reda dan bersyukur dengan apa yang terjadi kepadanya.

      Alif terus berjalan tanpa menghiraukan kanak-kanak yang mengejeknya itu. Kakinya yang tempang itu membuatkan Alif nampak sukar untuk berjalan. Di tangannya terdapat sebuah bakul yang kosong.

      Alif baru sahaja menghantar kuih ke kedai Mak Piah. Itulah sumber pendapatan keluarganya. Alif tinggal bersama-sama ibunya, Mak Lijah yang sudah tua. Wang yang diperoleh daripada hasil jualan kuih itu hanya cukup untuk menyara kehidupan mereka seharian sahaja.


Ayah Alif telah meninggal dunia. Ketika itu dia baru berumur lima tahun. Ayah Alif meninggal dunia kerana dilanggar oleh sebuah kereta ketika pulang daripada bekerja.

      Walaupun miskin dan cacat tetapi keadaan itu tidak menghalang Alif daripada menuntut ilmu. Di sekolahnya, Alif terkenal sebagai murid yang pintar dan rajin. Alif juga tidak lokek untuk membantu rakan-rakannya yang lemah dalam pelajaran. Baginya, ilmu yang diperoleh harus dikongsi bersama dan bukan untuk dirinya sahaja.

      Sikap Alif itu menyebabkan dirinya disayangi oleh guru-guru dan rakan-rakannya.

      "Sudah kamu hantar kuih itu ke kedai Mak Piah, Alif?" tanya Mak Lijah sebaik-baik sahaja Alif sampai di rumah.

      "Sudah, ibu!" jawab Alif ringkas.

      Alif naik ke atas rumah lalu mengambil beg sekolahnya untuk pergi ke sekolah. Itulah yang dilakukannya pada setiap hari. Sebelum ke sekolah, dia akan menghantar kuih dahulu. Kemudian, pada waktu pulang dari sekolah, dia akan  singgah di kedai Mak Piah untuk mengambil hasil jualan kuihnya.




    Bagi Alif, walaupun dia tempang tetapi dia tidak mahu menjadikan hal itu sebagai alasan untuk tidak mahu membantu ibunya. Dia tidak mahu dianggap sebagai beban dan menyusahkan ibunya yang sudah tua.

      Ketika Alif menghampiri pintu pagar sekolah, tiba-tiba dia terdengar suara di belakangnya.

      "Alif, boleh kami tolong bawakan beg engkau? Nampak berat beg itu."

      Alif menoleh ke belakang. Dilihatnya Fang dan Gopal sedang menghampirinya. Mereka berdua merupakan rakan karibnya di sekolah.

      "Tidak mengapalah! Aku boleh bawa beg ini," jawab Alif.

      "Kita ini kawan. Marilah aku tolong bawa beg kau itu," kata Gopal sambil mengambil beg yang berada di tangan Alif.

      "Terima kasih,Gopal!" ucap Alif.

      "Sama-sama!" ujar Raju.

      Mereka bertiga kemudiannya berjalan seiringan menuju ke kelas 6 Bestari.

Pukul 7.40 pagi, loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan bermula. Mata pelajaran pertama pada hari itu ialah Bahasa Melayu.

      "Semua bangun," tiba-tiba terdengar suara Hafizuddin, ketua kelas 6 Bestari, mengarahkan murid-murid bangun. Kelihatan Cikgu Zaiton, guru Bahasa Melayu melangkah masuk ke dalam kelas sambil membawa beberapa buah buku.

      "Selamat pagi, cikgu!" ucap Hafizuddin sambil diikuti oleh murid-murid lain.

      Selepas membalas ucapan, Cikgu Zaiton mengarahkan semua muridnya duduk.

      "Hari ini, cikgu akan mengajar karangan bertajuk "Cita-cita Saya". Tetapi sebelum itu, cikgu ingin mengetahui, apakah cita-cita kamu?" kata Cikgu Zaiton.

      Seorang demi seorang, murid kelas 6 Bestari bangun sambil menyatakan cita-cita mereka. Apabila tiba giliran Alif, dia pun bangun sambil berkata, "Cita-cita saya ingin menjadi doktor, cikgu!"

  "Ha! Ha! Ha! Alif hendak menjadi doktor. Diri sendiri cacat, ada hati hendak menjadi doktor,"  tiba-tiba kedengaran satu suara di barisan belakang kelas.

      Alif berpaling ke belakang. Dilihatnya, Letchumi sedang ketawa sambil memegang perutnya. Hati Alif segera tersentuh. Tanpa disedari, air matanya menitis membasahi pipinya. Dia berasa begitu sedih kerana diejek oleh Letchumi.

      Sebenarnya Letchumi selalu mengejek dan membuli Alif, walaupun dia sering dimarahi oleh guru dan murid-murid lain kerana perbuatannya itu.

      "Letchumi, tidak baik kamu berkata begitu! Masa depan seseorang tidak diukur daripada fizikalnya, tetapi daripada usahanya," marah Cikgu Zaiton kepada Letchumi
     Letchumi terdiam apabila dimarahi oleh Cikgu Zaiton. Cikgu Zaiton kemudiannya menyambung kembali pengajarannya.

      Pada pukul satu tengah hari, waktu persekolahan tamat. Alif, Fang, dan Gopal keluar dari kelas bersama-sama.

      "Alif, bersabarlah! Jangan berkecil hati dengan kata-kata Letchumi tadi," kata Fang.


  "Aku sedar aku cacat tetapi aku akan membuktikan bahawa insan yang cacat juga boleh berjaya," balas Alif dengan nada penuh keyakinan.

      "Bagus, Alif! Inilah yang kami hendak dengar. Tetapi kalau ikutkan hati, aku ingin aku belasah sahaja lettchumi itu," jawab Gopal pula sambil menggenggam penumbuknya.

      "Ah, sudahlah! Jangan kita ungkit lagi peristiwa tadi," kata Alif sambil mengajak rakan-rakannya itu pulang.

      Pada suatu petang,Fang dan Gopal bertandang ke rumah Alif. Mereka sudah berjanji untuk belajar bersama-sama. Tahun ini merupakan tahun yang penting kepada kepada mereka kerana akan menghadapi peperiksaan UPSR.

      "Alif ada, mak cik?" tanya Fang dan Gopal kepada Mak Lijah.

      "Ada! Tunggu sebentar, ya! Alif sedang mandi," jawab Mak Lijah.

      Tidak lama kemudian, Alif pun keluar dan mengajak rakan-rakannya itu untuk belajar di bawah pokok berhampiran rumahnya. Di bawah pokok itu sudah tersedia bangku dan meja untuk mereka belajar.



  "Alif, kamu fikir boleh atau tidak, dapat 5A dalam UPSR nanti?" tanya Fang kepada Alif.

      "Entahlah, Fang! Harap-harap boleh dapat kerana aku ingin benar memasuki Maktab Rendah Sains Mara. Aku ingin mencapai cita-citaku untuk menjadi doktor," jawab Alif.

      "Apalah kamu ini,Fang! Tentulah Alif boleh dapat 5A. Dia murid paling pintar di sekolah kita. Yang aku risau, kita ini. Entah-entah dapat 5E," sampuk Gopal pula.

      Alif dan Fang ketawa berdekah-dekah mendengar kata-kata gurauan daripada Gopal itu.

      Setelah kira-kira satu jam belajar bersama-sama,  Fang dan Gopal meminta diri untuk pulang ke rumah masing-masing.

      Beberapa bulan kemudian, tibalah hari yang ditunggu-tunggu. Sebelum turun dari rumah untuk ke sekolah, Alif mencium tangan ibunya sambil memohon restu.

      Sebaik-baik sahaja sampai di sekolah, Alif lihat sudah ramai rakannya yang datang. Dia tercari-cari Fang dan Gopal. Tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang.

 

      "Ah, kamu berdua ini! Tidak habis-habis mengejutkan aku. Nasib baik aku tidak ada penyakit lemah jantung. Kalau tidak, sudah lama aku meninggal dunia," kata Alif sambil memandang Fang dan Gopal yang tersengih-sengih seperti kerang busuk.

      "Maaflah, Alif! Kami bukan sengaja," jawab mereka berdua.

      "Tidak mengapalah! Mari kita masuk ke dewan peperiksaan," ajak Alif. Mereka bertiga kemudiannya menuju ke dewan peperiksaan.

      Sewaktu peperiksaan berlangsung, Alif menjawab dengan berhati-hati. Segala ilmu yang diajar oleh gurunya digunakan sepenuhnya untuk menjawab soalan peperiksaan. Alif yakin, dia boleh mendapat keputusan yang cemerlang.

      Pada suatu petang, seminggu selepas peperiksaan UPSR, Fang dan Gopal pergi ke rumah Alif. Setibanya mereka di rumah Alif, mereka melihat Alif sedang duduk termenung seperti orang yang bermasalah. Mereka segera menghampiri Alif.

      "Mengapa, Alif? Kami lihat engkau seperti ada masalah," tanya Fang.



      "Sebenarnya, aku sedang memikirkan nasibku. Aku mungkin tidak dapat pergi ke Maktab Rendah Sains Mara, walaupun mendapat keputusan yang cemerlang nanti," jawab Alif.

      "Mengapa pula?" serentak Fang dan Gopal bertanya.

      "Kamu sendiri tahu, kami orang miskin. Jika aku berjaya pun, siapa yang akan menanggung perbelanjaan persekolahanku nanti? Dengan pendapatan yang diperoleh sekarang, kami tidak mampu," jelas Alif dengan nada yang sayu.

      "Bersabarlah, Alif! Jangan berputus asa. Mungkin ada jalannya nanti. Tuhan pasti akan menolong orang yang berada dalam kesusahan," kata Gopal memujuk Alif.

      Pada suatu petang, Alif berjalan-jalan berseorangan. Tiba-tiba dia ternampak sebuah dompet di tepi jalan. Alif terus mengambil dompet itu. Sebaik-baik sahaja dia membuka dompet itu, dilihatnya di dalam dompet itu mengandungi banyak wang. Seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat wang sebanyak itu.

      Alif segera membawa dompet itu ke balai polis berhampiran. Dia tahu tentu tuan punya dompet itu mencari-cari dompetnya. Selepas menyerahkan dompet itu kepada pihak polis, Alif pun pulang ke rumahnya.

     Sampai sahaja di rumah, Alif menceritakan peristiwa yang dialaminya tadi kepada ibunya. Mak Lijah berasa bangga kerana mempunyai seorang anak yang jujur.

      Seminggu selepas peristiwa itu, tibalah hari yang ditunggu-tunggu oleh Alif dan rakan-rakannya. Keputusan UPSR akan diumumkan. Hati Alif berdebar-debar. Dia berharap segala usahanya selama ini akan membuahkan hasil.

      Setibanya di sekolah, Alif melihat sudah ramai rakannya yang sedang menanti keputusan yang akan diumumkan oleh Guru Besar.

      "Mohd Alif bin Jahan," tiba-tiba Alif terdengar namanya dipanggil. Dia segera memandang ke arah suara itu. Rupa-rupanya Guru Besar yang memanggil namanya. Dia segera menghampiri Guru Besar.

      "Ini keputusan kamu! Tahniah untuk kamu, Alif!" kata Guru Besar sambil menyerahkan sekeping kertas kepada Alif.


Alif mengambil kertas tersebut dan melihat keputusan yang diperolehnya. Tanpa disedari, air matanya mengalir laju. Dia telah mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR.

      Sebaik-baik sahaja mengetahui keputusan yang diperoleh oleh Alif, rakan-rakannya yang lain segera mengucapkan tahniah.

      "Tahniah, Alif!" ucap Fang dan Gopal sebaik-baik sahaja mereka bertemu.

      "Terima kasih! Kamu berdua pula bagaimana?" tanya Alif pula.

      "Kami berdua dapat 4A 1B," jawab Fang. Alif segera mengucapkan tahniah kepada kedua-dua orang rakannya itu atas kejayaan mereka. Mereka kemudiannya menemui guru-guru untuk mengucapkan terima kasih.

      Alif berjalan dengan pantas. Dia ingin segera sampai di rumah untuk menunjukkan keputusan peperiksaannya kepada ibunya.

      Dari jauh dilihatnya ada sebuah kereta di halaman rumahnya. "Siapa pula itu?" Alif tertanya-tanya di dalam hatinya.

      Sebaik-baik sahaja Alif masuk ke dalam rumahnya, ada beberapa orang anggota polis dan seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan pertengahan 40-an sedang berbual-bual dengan ibunya.

      "Siapa ini, ibu?" tanya Alif.

      "Alif, pak cik ialah orang kehilangan dompet yang dijumpai oleh Alif tempoh hari. Sebenarnya di dalam dompet itu terdapat beberapa dokumen yang amat penting. Pak cik amat terhutang budi kepada Alif kerana mendapat semula dompet itu. Pak cik bangga kerana dompet itu dijumpai oleh orang jujur seperti kamu," jelas lelaki itu.

      "Bagaimana keputusan peperiksaan kamu?" tiba-tiba Mak Lijah bertanya.

      "Alif berjaya mendapat 5A, ibu," jawab Alif.

      "Wah, tiada sangka Alif ini cerdik orangnya! Nanti bolehlah melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh," kata lelaki itu.

      Alif segera menundukkan kepalanya ke lantai sebaik-baik sahaja mendengar kata-kata lelaki itu.


  "Sebenarnya, encik, saya tidak mampu untuk menanggung pembelajarannya, jika Alif pergi ke sekolah berasrama penuh. Maklumlah kami ini orang susah," Mak Lijah menjelaskan perkara yang sebenarnya.

      "Oh, begitu! Jangan bimbang. Jika Alif berjaya ke sekolah berasrama penuh nanti, segala perbelanjaan persekolahannya akan saya tanggung. Begitu juga dengan perbelanjaan mak cik seharian," janji lelaki itu.

      Alif terkejut mendengar kata-kata lelaki itu. Dia segera mengucapkan terima kasih kepada lelaki itu. Masa depannya yang disangka gelap akhirnya telah bersinar kembali.

      Alif teringat kembali pada kata-kata yang pernah diucapkan oleh gurunya, iaitu setiap kebaikan yang kita lakukan pasti akan dibalas dengan kebaikan juga nanti.

      Tanpa disedari, sekali lagi air mata Alif mengalir laju membasahi pipinya.


       ESOK TETAP ADA SINAR




0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama