Sabtu, 8 Jun 2013

EMMM~Goha dengan penggali kubur

 Pada suatu hari, pagi-pagi lagi pintu rumah Goha diketuk orang.

      Tuk! Tuk! Tuk! Ketukan itu bertalu-talu. Namun, Goha tidak tergesa-gesa untuk pergi membuka pintu itu. Dia memang pantang untuk membuka pintu rumahnya, kalau seseorang itu tidak terlebih dahulu mengucapkan salam.

      Tuk! Tuk! Tuk! Ketukan itu masih kedengaran lagi. Malah berserta dengan panggilan, “Tuan Goha! Tuan Goha!” Tetapi Goha masih berdiam diri, seolah-olah telinganya pekak.

      “Mengapa awak tidak pergi membuka pintu itu?” tiba-tiba terdengar suara isterinya.

      Namun, Goha masih tetap tidak peduli.

      “Itu macam suara jiran kita. Pergilah awak buka pintu!” ujar isterinya.

      “Mana awak tahu itu jiran kita? Mungkin perompak!” Goha sengaja berpura-pura tidak mengenali suara jirannya.

      “Saya tahu! Sudah bertahun-tahun kita tinggal di sini. Saya tahu itu ialah suara jiran kita. Pergilah lekas buka pintu!” kata isterinya lagi.




Tuk! Tuk! Tuk! Pintu itu masih diketuk.

      Mahu tidak mahu, terpaksalah Goha mengalah pada kata-kata isterinya itu. “Tunggu sekejap!” Goha melaung kuat supaya didengar oleh jirannya itu. Dengan demikian, jirannya akan menyangka dia hendak membuka pintu.

      Namun demikian, Goha sebenarnya tidak terus pergi ke muka pintu itu. Sebaliknya, dia pergi ke pintu dapur. Dibukanya pintu dapur itu dan terus keluar.

      Goha pergi ke hadapan rumahnya. Di situ, dia melihat jirannya sedang tercegat di hadapan pintu. Terkejutlah jirannya apabila melihat Goha.

      “Tadi saya terdengar suara tuan di dalam rumah. Kalau bukan suara tuan, suara siapa pula?” jirannya berasa hairan.

      “Oh, tadi memang suara saya!” ujar Goha.

      “Tetapi sekarang Tuan Goha datang dari mana pula?” jirannya masih berasa hairan.

      “Datang dari dalam rumah saya,” jelas Goha.



 Jirannya terdiam. Berkerut dahinya kerana berasa bingung.

      “Saya keluar dari pintu dapur,” jelas Goha lagi sambil tertawa.

      Mendengar penjelasan itu, barulah jirannya itu dapat memahaminya.

      Namun demikian, jirannya itu sebenarnya masih tetap berasa hairan. “Mengapa pula Tuan Goha keluar dari pintu belakang dan enggan membuka pintu hadapan?” fikirnya dalam hati.

      Jirannya itu ingin cuba bertanya lagi, mengapa Goha berbuat demikian. Namun, dia tidak berani bertanya lagi. Dia tahu, Goha memang selalu berkelakuan aneh dan suka berjenaka. Oleh yang demikian, dia berdiam diri sahaja dan tidak ingin bertanya apa-apa lagi.

      Tuk! Tuk! Tuk!

      Pintu itu diketuk lagi. Tetapi bukanlah diketuk oleh jirannya itu. Sebaliknya, pintu itu diketuk oleh Goha sendiri.

      Perbuatan itu semakin menghairankan jirannya. Oleh yang demikian, jirannya lalu terus bertanya, “Mengapakah pula Tuan Goha mengetuk pintu rumah sendiri?”

 “Jiran kita ini adalah tamu kita. Dia datang ke rumah kita. Jadi saya tolong ucapkan salam untuknya. Saya juga tolong ketukkan pintu untuknya. Saya adalah seorang tuan rumah yang sangat baik hati,” jelas Goha.

      Isteri Goha tidak berkata apa-apa lagi. Dia tahu, suaminya memang sangat pintar berjenaka. Oleh sebab itu, dia tidak mahu bertanya apa-apa lagi.

      Goha lalu menjemput jirannya masuk ke dalam rumah.

      “Saya datang ini, sekejap sahaja,” ujar jirannya.

      Goha tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepalanya. Sebelum sempat jirannya itu berkata lagi, Goha sudah bergegas masuk ke dapur.

      Goha tidak mahu  menyusahkan isterinya. Oleh itu, dia menyediakan sendiri minuman untuk jirannya. Dia menggunakan gelas yang paling kecil. Minuman pula diisikan separuh gelas sahaja.

      “Mengapa sediakan minuman yang sedikit sahaja?” isterinya bertanya.

      “Jiran kita itu mahu datang sekejap sahaja. Dia tidak mahu duduk lama. Jika saya sediakan minuman dalam gelas besar, tentulah dia akan lambat pulang,” ujar Goha.


 Terkejutlah jiran itu apabila melihat Goha menghidangkan minuman dalam gelas yang sangat kecil. Minuman itu pula hanyalah separuh gelas sahaja. Namun, dia tidak berani berkata apa-apa. Dia tahu, Goha memang selalu berkelakuan aneh.

      “Kedatangan saya ini adalah untuk menyampaikan berita,” kata jirannya.

      “Minumlah dahulu!” Goha mempelawa jirannya minum.

      Terpaksalah jirannya itu minum terlebih dahulu. Sekali teguk sahaja, habislah minuman itu.

      “Berita apa yang saudara maksudkan tadi?” Goha lalu bertanya.

      “Saya ingin memberitahu kepada Tuan Goha bahawa salah seorang jiran kita sudah meninggal dunia,” jirannya memberitahu.

      “Jiran yang mana satu?” Goha ingin tahu.

      “Jiran yang tinggal di hujung sana. Rumah di sebelah kanan. Rumah yang kedua puluh,” jelas jirannya itu.

  Goha mengangguk-anggukkan kepalanya. “Ya, saya mengenalinya!” ujar Goha.

      “Dia seorang yang sangat miskin. Dia tidak meninggalkan walau sekeping wang pun,” jelas jirannya lagi.

      Goha masih mengangguk-anggukkan kepalanya.

      “Saya fikir, kita semua harus berkongsi sedikit wang,” kata jirannya itu.

      Goha tercengang mendengar kata-kata itu. “Mengapa pula? Orang sudah mati tidak memerlukan wang lagi.”

      “Kita harus membayar upah penggali kubur. Kalau tidak, bagaimana mayatnya hendak ditanam?” kata jirannya itu.

      “Baiklah, kalau begitu! Saya sanggup bersedekah,” Goha bersetuju dengan cadangan itu.

      Beberapa orang penduduk yang tinggal di kawasan itu memberikan sedekah masing-masing. Menjelang petang, mayat jiran yang meninggal dunia itu selamat dikebumikan.

 Namun, beberapa hari kemudian, barulah Goha mengetahui bahawa penggali kubur itu mengambil upah yang sangat mahal. Marahlah Goha terhadap perbuatan penggali kubur itu.

      “Tidak patut penggali kubur itu mengambil upah yang begitu mahal,” rungut Goha.

      Selang beberapa hari kemudian, Goha pergi ke kawasan perkuburan. Dia ingin bertemu dengan penggali kubur itu. Kebetulan, penggali kubur itu berada di situ.

      “Awak sedang buat apa?” Goha bertanya.

      “Oh, saya sedang berehat, wahai Tuan Goha!” penggali kubur itu menjawab.

      “Mengapa awak tidak menggali kubur?” Tanya Goha lagi.

      “Tidak ada orang mati. Macam mana saya hendak gali kubur?” jelas penggali kubur itu.

      Goha termenung sejenak. Kemudian dia bertanya lagi, “Mahukah awak mengambil upah menggali kubur?”

 Mendengar pertanyaan Goha, penggali kubur itu terus menjawab dengan perasaan gembira, “Sudah tentulah saya mahu,wahai Tuan Goha! Kerja saya memang mengambil upah menggali kubur. Jika saya tidak mahu melakukannya, sudah tentulah saya tidak akan mempunyai wang.”

      Goha terdiam sejenak. Kemudian dia berkata, “Kalau begitu, awak galilah sekarang lubang kubur itu.”

      Penggali kubur itu, tanpa berlengah lagi, terus melakukan kerjanya. Sementara Goha pula menunggu di situ. Akhirnya, siaplah penggali kubur itu menggali kubur tersebut.

      “Bilakah mayat itu akan dibawa ke mari?” tanya penggali kubur itu.

      “Awak tunggulah!” ujar Goha.

      Selepas itu, Goha terus pulang ke rumahnya.

      Penggali kubur itu terus menunggu. Sehingga lewat petang, mayat yang ditunggu-tunggunya tidak juga tiba. Hairanlah penggali kubur itu.
 Keesokan harinya, penggali kubur itu menunggu lagi. Tetapi mayat yang ditunggu-tunggu itu masih belum tiba. Akhirnya, penggali kubur itu mengesyaki Goha telah memperdayakannya. Marahlah ia kepada Goha.

      Tanpa membuang masa lagi, penggali kubur itupun segera mencari Goha. Puaslah ia cuba mencari Goha di sana sini. Namun, tiada jumpa.

      Pada suatu hari, secara kebetulan, dia terserempak  dengan Goha di dalam pasar. Apalagi! Ia terus meluru mendapatkan Goha. Hatinya marah bukan kepalang.

      “Tuan Goha!” katanya. “Tuan telah menipu saya.”

      “Mengapa awak berkata begitu?” tanya Goha.

      “Tuan menyuruh saya menggali sebuah kubur. Tetapi tiada siapa yang datang membawa mayat,” ujar penggali kubur itu.

      “Mayat itu belum ada!” jelas Goha pula.

      “Mengapa pula demikian?” penggali kubur itu bertanya dengan perasaan hairan.




 Goha lalu menjawab, “Kubur itu sebenarnya adalah untuk diri saya. Tetapi sekarang, saya belum meninggal dunia.”

      Tercenganglah penggali kubur itu setelah mendengar jawapan tersebut. Dengan perasaan berang, dia cuba meminta upahnya daripada Goha, “Kalau begitu, bilakah saya boleh mendapatkan upah saya?”

      Tetapi Goha menjawab, “Tunggulah dulu sehingga saya meninggal dunia.”

      Terdiamlah sejenak penggali kubur itu apabila mendengar Goha menjawab demikian. Disebabkan rasa masih belum berpuas hati, dia cuba bertanya lagi, “Kalau begitu, bilakah tuan akan meninggal dunia?”

      “Manalah saya tahu?” jawab Goha lagi.

      Penggali kubur itu terdiam lagi kerana berasa malu pada dirinya sendiri. Dia tahu soalannya itu sangat bodoh.

      Namun demikian, penggali kubur itu masih belum berpuas hati. Dia terus bertanya lagi, “Mengapakah pula saya harus menunggu sehingga Tuan Goha meninggal dunia?”

  “Bukankah kamu biasanya akan menerima upah selepas mayat selesai dikebumikan?” soal Goha lagi.

      Penggali kubur itu terdiam. Dia tidak dapat bertanya apa-apa lagi. Dia tahu kata-kata Goha itu memang benar.

      Oleh yang demikian, penggali itupun terus berlalu dari situ. Sambil melangkah pergi, dia cuba berfikir mengapa Goha berbuat demikian terhadap dirinya.

      “Tentu ada sebabnya, mengapa Tuan Goha sengaja memperdayakan diriku. Jika tidak, masakan dia sanggup berbuat demikian,” fikir penggali kubur itu dengan perasaan hairan. Lebih-lebih lagi kerana selama ini, dia tahu Goha adalah seorang yang sangat baik hati.

      Beberapa hari lamanya, penggali kubur itu cuba memikirkan hal itu. Akhirnya, dia insaf bahawa Goha tidak menyukai perbuatannya, suka mengambil upah yang mahal untuk menggali kubur.

      Sejak itu, penggali kubur itu tidak lagi mengambil kesempatan mengenakan upah yang mahal. Sebaliknya, apabila ada orang meninggal dunia, dia akan menggali kubur secara percuma untuk mendapatkan pahala. Dia hanya akan mengambil wang apabila seseorang itu menghulurkan sebarang upah secara ikhlas kepadanya.

      Goha turut berasa gembira apabila mendapat khabar bahawa penggali kubur itu tidak lagi mengambil upah yang mahal.



0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama